Breadcumb Caption
  • Archive News
  • 2013
  • Cari ketetapan prosedur - Niosh
Breadcumb Caption
  • Archive News
  • 2013
  • Cari ketetapan prosedur - Niosh

Cari ketetapan prosedur - Niosh

Utusan Online, 21 Jun 2013

KUALA LUMPUR 23 Jun - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu mengadakan perjumpaan dengan pengusaha lori simen dan syarikat pembekal konkrit siap tuang (ready mix concrete) bagi menyelesaikan masalah tumpahan simen konkrit yang merosakkan jalan raya di ibu negara.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (Niosh), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, melalui perjumpaan itu, pihak terlibat perlu mewujudkan satu ketetapan prosedur yang perlu dipatuhi dalam menyelesaikan masalah tumpahan simen konkrit di jalan raya.

Menurut Lam Thye, masalah tumpahan simen konkrit dari lori-lori pembawa konkrit siap tuang di jalan raya jelas memberi tekanan jiwa kepada pengguna yang lain kerana kenderaan mereka terdedah kepada risiko rosak selain boleh berlaku kemalangan.

"Tompokan simen dan pasir (di permukaan jalan) akibat tumpah, sama ada kerana lebihan muatan atau pemanduan yang tidak berhemah pemandu lori amat mencemarkan pandangan terutama kepada jalan raya yang baru siap dibina. Simen yang berselerak di atas jalan raya ini mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya, khasnya penunggang motosikal.

"Kerosakan yang berlaku ke atas kemudahan awam yang amat penting ini semakin berleluasa sejak kebelakangan ini adalah berpunca daripada pembangunan pesat terutamanya di bandar besar, malah ia amat ketara di Kuala Lumpur oleh kerana begitu banyak pembangunan sedang berjalan seperti pembinaan jejambat, sistem pengangkutan MRT, bangunan dan infrastruktur lain.

"Kita bukan hendaklah menyalahkan pembangunan tetapi lebih khusus kepada sikap dan tanggungjawab untuk melaksanakan kerja dengan mematuhi peraturan yang ditetapkan supaya akibatnya tidak memberi risiko kepada kemungkinan berlaku kemalangan di tempat kerja yang sejak kebelakangan ini menunjukkan peningkatan yang tinggi.

"Selain mencacatkan permukaan jalan, tumpahan konkrit turut mengundang bahaya kepada pengguna khususnya penunggang motosikal.

"Sikap pemandu lori yang tidak mengikut peraturan yang telah ditetapkan menyebabkan masalah ini semakin meningkat dari semasa ke semasa," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia pada Selasa lalu mengenai masalah kecacatan jalan raya di sekitar ibu negara yang disebabkan oleh tumpahan konkrit dan batu kerikil daripada lori yang mengangkutnya ke tapak pembinaan.

Mengulas lanjut, Lam Thye berkata, masalah tersebut juga dapat diatasi jika setiap pemandu lori berkenaan menerapkan disiplin yang tinggi dalam diri masing-masing.

"Saya yakin jika semua pemandu lori di negara ini memandu dengan berhemah masalah ini pasti tidak berlaku dan sudah tentu kes kemalangan yang membabitkan pengguna lain dapat dikurangkan.

"Pengusaha lori simen juga perlu memberi pendidikan kepada semua pemandu mereka supaya semua peraturan diikuti dan dipatuhi," ujarnya.



 

Print Email