Lif bawa maut ditutup sebulan
Utusan Online, 19 Julai 2013
KUALA LUMPUR 18 Julai - Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) akan menutup satu lif di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Tun Razak, Cheras selama sebulan atau lebih untuk mengkaji punca sebenar kerosakannya sehingga meragut nyawa seorang kanak-kanak semalam.
Timbalan Ketua Pengarah Operasi JKKP Malaysia, Mokhtar Musri berkata, pihaknya perlu menutup lif itu untuk memeriksa secara terperinci dan memastikan lif berkapasiti 22 orang itu benar-benar selamat digunakan.
Setakat ini katanya, tiada punca sebenar diperoleh menyebabkan lif itu jatuh, tersekat dan jatuh semula meskipun pintu telah terbuka.
"Siasatan dijalankan mengikut pelbagai sudut termasuk melihat sistem operasi lif, penyelenggaraan dan alat-alat keselamatan yang dipasang di situ.
"Setakat ini kita tidak dapat menjuruskan lagi punca sebenar lif itu jatuh menyebabkan kita terpaksa menutup lif tersebut mungkin untuk sebulan atau lebih," katanya ketika ditemui semasa mengadakan ujian keselamatan di PPR itu hari ini.
Dalam kejadian semalam, Khairulamir Azri Lani, 11, maut akibat tersepit dalam lif yang rosak sewaktu pulang dari sekolah di Projek Perumahan Rakyat Desa Tun Razak.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 12.50 tengah hari ketika mangsa mahu singgah di rumah neneknya yang terletak di tingkat tiga.
Sementara itu, Mokhtar ketika ditanya tentang dua lagi lif di blok berkenaan memberitahu, kedua-dua lif itu telah diuji dan selamat untuk digunakan.
"Ketiga-tiga lif yang dipasang di sini mempunyai beban kontrak yang berbeza. Lif yang rosak ini hanya boleh memuatkan 22 orang dengan beban seberat 1,500 kilogram dan lif lain hanya boleh memuatkan 17 orang.
"Untuk itu, kita akan melakukan ujian bagi mengetahui sama ada alat keselamatan di situ berfungsi atau tidak," katanya.
Beliau memberitahu, JKKP akan meneliti semula jadual penyelenggaraan oleh syarikat yang dipertanggungjawabkan untuk membaik pulih lif di sini sama ada mengikut jadual yang ditetapkan atau tidak.