Breadcumb Caption
  • Archive News
  • 2013
  • DBKL tunggu JKKP selesai siasat
Breadcumb Caption
  • Archive News
  • 2013
  • DBKL tunggu JKKP selesai siasat

DBKL tunggu JKKP selesai siasat

Utusan Online, 19 Julai 2013

TIGA kakitangan JKKP Wilayah Persekutuan memeriksa keadaan lif yang terbabit dengan kejadian seorang kanak-kanak mati tersepit di PPR Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/M. FADHLI YONG

KUALA LUMPUR 18 Julai - Lif yang mengakibatkan seorang murid tahun lima maut akibat tersepit pada pintunya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Tun Razak di sini semalam akan ditutup selama sebulan.

Datuk Bandar, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, tindakan itu bagi membolehkan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca kerosakan lif.

Menurut beliau, pihaknya sedang menunggu laporan jabatan itu dalam masa terdekat sebelum tindakan diambil sama ada lif itu perlu ditukar baharu dan sebagainya.

"Bagi kes lif di PPR Desa Tun Razak, kerja-kerja penggantian telah dibuat pada 2010. Sekiranya hasil siasatan mendapati insiden berkenaan berpunca daripada kegagalan masalah teknikal lif, sebarang tuntutan ganti rugi adalah di bawah tanggungjawab pihak kontraktor," katanya dalam sidang akhbar berhubung isu tersebut di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti DBKL, Wan Mohd. Ghazali Nor.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.50 tengah hari semalam, Khairul Amir Azri Lani, 11, pelajar tahun lima Sekolah Kebangsaan Bandar Tasik Selatan maut selepas tersepit ketika cuba keluar daripada lif berkenaan yang tersekat antara tingkat dua dan tiga di Blok 8 perumahan itu.

Menurut Ahmad Phesal, beliau tidak menolak kegagalan lif itu berfungsi dengan baik disebabkan perbuatan vandalisme.

Dalam masa sama, katanya, kerosakan lif itu juga boleh berpunca daripada kekerapan operasi lif yang tinggi dan membawa muatan berlebihan dalam satu-satu masa.

"Selain itu, kelemahan pemantauan dan kegagalan kontraktor lif mematuhi skop kerja-kerja menyenggara yang telah ditetapkan mengikut kontrak juga boleh menyumbang kepada kerosakan," jelasnya mengenai kemungkinan-kemungkinan yang menjadi punca kerosakan lif itu.

Sementara itu, Ahmad Phesal meminta para penghuni dan pihak-pihak terlibat mengambil iktibar daripada kejadian tersebut selain meminta DBKL serius dalam menangani masalah berkenaan.

Dalam pada itu, katanya, DBKL sedang mengkaji untuk menempatkan sebanyak 250 penguat kuasa atau melantik pengawal secara kontrak di seluruh kawasan perumahan di bawah pentadbiran agensi itu.

"Kami juga akan meneliti sekiranya perlu untuk melantik lembaga pelawat seperti dilaksanakan di hospital," katanya

 

Print Email