Mulakan transformasi Keselamatan
Utusan Online, 11 Ogos 2013
KUALA LUMPUR 10 Ogos - Sektor awam dan swasta di negara ini digesa melaksanakan program Transformasi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan sekali gus menjadikannya sebagai pelaburan penting dalam organisasi masing-masing.
Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, langkah itu penting ke arah mewujudkan persekitaran kerja yang bebas kemalangan sekali gus membina dan memupuk budaya keselamatan serta kesihatan pekerjaan di negara ini.
"Keperluan keselamatan dan kesihatan pekerjaan amat penting justeru, setiap organisasi perlu menitikberatkan aspek itu kerana apabila berlaku kemalangan, ia bukan sahaja mengundang risiko kehilangan nyawa malah menjejaskan produktiviti syarikat.
"Pihak pengurusan sering menganggap pekerja sebagai aset yang paling penting dalam organisasi maka, adalah wajarnya aset penting itu dilindungi dari segi kesihatan dan keselamatan bagi memastikan ia terus produktif," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sehubungan itu, Lam Thye meminta setiap organisasi mengkaji dan melihat semula aset mereka dan dengan aktif menunjukkan sokongan ke arah menyediakan polisi keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang bertanggungjawab menerusi pelaksanaan program-program pencegahan kemalangan.
"Pihak pengurusan atau majikan perlu menyedari bahawa amalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan adalah sebahagian daripada pengurusan perniagaan serta berkait rapat dengan daya maju sesebuah organisasi.
"Adalah penting untuk menterjemahkan pengetahuan keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam tingkah laku serta aplikasi praktikal sekali gus dapat menangani situasi situasi bahaya di tempat kerja," katanya.