Breadcumb Caption
  • Archive News
  • 2013
  • 15 cedera terkena serpihan batu kuari
Breadcumb Caption
  • Archive News
  • 2013
  • 15 cedera terkena serpihan batu kuari

15 cedera terkena serpihan batu kuari

Utusan Online, 31 Ogos 2013

 

news 31082013
Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (dua dari kanan) melihat bumbung dewan yang runtuh akibat dihempap serpihan batu dari kuari ketika melawat ke Sekolah Kebangsaan Chuping, Padang Besar, Perlis, semalam. - UTUSAN/Muhamad Iqbal Rosli

PADANG BESAR 30 Ogos - Seramai 14 murid dan seorang guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Chuping dekat sini cedera selepas terkena serpihan bongkah batu yang terpelanting ketika kerja-kerja meletup batu dijalankan di sebuah kuari berhampiran hari ini.

Kejadian berlaku pukul 12 tengah hari menyebabkan serpihan batu terpelanting dari kuari itu sejauh kira-kira satu kilometer sehingga merosakkan bumbung dewan makan, asrama pelajar perempuan dan makmal sains sekolah berkenaan.

Selain kawasan sekolah, sebuah rumah di Kampung Bawah Bukit Chuping turut rosak apabila bahagian bumbung depan rumah berkenaan dan dua kereta terkena serpihan bongkah batu kuari berkenaan.

Kejadian itu turut mendapat perhatian Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail apabila baginda meluahkan masa melawat ke sekolah tersebut untuk melihat bumbung dewan yang runtuh akibat dihempap serpihan batu dari kuari berdekatan.

Guru Pendidikan Islam sekolah terlibat, Norhayati Mat, 35, cedera di kepala dan bahu manakala sembilan murid tahun satu dan lima murid tahun dua juga cedera di kepala dan bahu.

Norhayati berkata, sebelum kejadian dia bersama beberapa guru sedang sibuk mengendalikan pertandingan pewarnaan sempena sempena Hari Kemerdekaan untuk murid tahun satu hingga lima di dewan makan sekolah.

"Saya ditimpa projektor yang terletak dekat dengan saya. Serpihan batu itu turut menyebabkan pentas dewan makan rosak," katanya ketika ditemui di Jabatan Kecemasan Hospital Tengku Fauziah (HTF) hari ini.

Katanya, semua murid yang cedera ketika itu berada di atas pentas dewan dan mereka juga dirawat di hospital yang sama.

Sementara itu, Timbalan Penguasa Bahagian Operasi Bomba dan Penyelamat negeri, Khozari Ahmad berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu pada pukul 12.59 tengah hari.

Katanya, enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Padang Besar dikejarkan ke tempat kejadian.

"Letupan berpunca daripada kegiatan meletupkan batu kuari yang terletak kira-kira satu kilometer dari kawasan berhampiran," katanya.

Tambah beliau, pihaknya mendapati serpihan batu ini sudah bertaburan di kawasan pentas dewan.

Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SK Chuping, Azura Ariffin memberitahu, dia terdengar bunyi kuat di dalam kawasan sekolah dan melihat bumbung asrama murid perempuan ditimpa batu kuari berkenaan namun ketika itu tiada sesiapa di sana.

Menurutnya, pemeriksaan doktor mendapati semua mangsa tidak mengalami kecederaan serius dan mereka diberi pengawasan dan pemerhatian selama 24 susulan kejadian itu.

Print Email