6 faktor nahas bas korban 37 nyawa di Genting Highlands
Berita Harian Online, 20 Februari 2014
KUALA LUMPUR: Melebihi had laju adalah faktor utama nahas bas yang mengorbankan 37 nyawa di Kilometer 3.6, Jalan Genting Highlands-Kuala Lumpur pada 21 Ogos tahun lalu.
Laporan dikeluarkan Kementerian Pengangkutan dalam laman sesawang kementerian itu turut menggariskan lima lagi faktor berlakunya nahas terbabit iaitu dari aspek jalan raya.
Menurut laporan setebal 44 muka surat itu, faktor kedua ialah status dan reka bentuk jalan raya memberi persepsi tidak betul kepada pemandu untuk memandu lebih laju manakala 'Safety Barrier' tidak memenuhi piawaian keselamatan serta kedudukan 'Emergency Escape Ramp' yang sukar digunakan ketika kecemasan.
Faktor ketiga adalah aspek kenderaan didapati mengalami masalah brek yang kurang berkesan manakala faktor keempat pula adalah Genting Highlands Transport Sdn Bhd didapati kurang memberi penekanan terhadap keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
"Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dikatakan tidak menjalankan penguatkuasaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) 1994 dan Tata Amalan Industri (ICOP) SPAD secara berkesan," menurut laporan Panel Penasihat Bebas itu.
Faktor kelima adalah sistem komunikasi di kawasan bukit dan kawasan terpencil yang kurang efektif selain sistem 999 untuk panggilan kecemasan tidak digunakan secara efisien manakala faktor terakhir adalah sikap ketidakprihatinan terhadap keselamatan jalan raya turut menyumbang kepada nahas terbabit.
Berdasarkan laporan itu ,terdapat 51 cadangan penambahbaikan yang meliputi 16 syor berkaitan jalan, 20 syor membabitkan aspek kenderaan, lapan syor untuk keselamatan operasi serta amalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan. "Manakala empat syor bagi tindakan kecemasan dan menyelamat serta tiga syor untuk memperkasakan pembabitan orang awam terhadap keselamatan jalan raya," menurut laporan itu yang boleh dibaca orang ramai di dalam laman sesawang kementerian itu bermula hari ini.
Kemalangan bas di Genting Highlands pada Ogos tahun lalu itu disifatkan sebagai kemalangan jalan raya paling buruk pernah berlaku di kawasan itu dalam tempoh 17 tahun di negara ini.
Tragedi itu mengorbankan 37 orang apabila bas ulang-alik Genting Highlands ke Kuala Lumpur yang dinaiki 53 orang terjunam 60 meter ke dalam gaung di Kilometer 3.5 Jalan Genting Highlands, pada 21 Ogos. - BERNAMA