Masih banyak lif, eskalator belum dinaik taraf: JKKP
Borneo Post Online, 22 Mac 2014
TINGKAT KESELAMATAN: Aguse (kiri) menyerahkan buku panduan keselamatan kepada Pengurus Bahagian Pengurusan 100% Superstore Wong Ling Pui.
KUCHING: Masih banyak lif, eskalator dan ‘dumbwaiter’ yang terdapat di negeri ini belum dinaik taraf dan dipasang peralatan keselamatan mengikut piawaian ditetapkan, kata Timbalan Pengarah (Khidmat Teknik) Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Sarawak Aguse Adie.
Peralatan keselamatan itu merangkumi ‘Emergency Battery Operated Power System’ (EBOPS), ‘Landing Door Apron,’ ‘Skirt Brush’ dan ‘Yellow Demarcation Line.’
Beliau berkata, pihaknya telah memberi tempoh pematuhan mencukupi kepada pemilik jentera terbabit, namun maklum balas yang diberikan agak perlahan.
“Kita memberi tempoh yang mencukupi kepada pemilik jentera untuk mematuhi peraturan bagi menjadualkan kerja-kerja naik taraf semua jentera yang merangkumi lif, eskalator dan ‘dumbwaiter.’
“Namun, setakat ini maklum balas daripada pemilik jentera agak negatif dan kita berharap mereka lebih bersikap bertanggungjawab,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kempen Keselamatan Bagi Pengguna Lif dan Eskalator di Pusat Beli-Belah 100% Genesis Parade di sini, semalam.
Setakat ini, menurutnya, belum ada sebarang tindakan diambil terhadap pemilik jentera yang gagal mematuhi peraturan penjadualan kerja naik taraf yang ditetapkan.
Sehingga Februari 2014, katanya, lebih 1,400 lif, 590 eskalator dan 30 ‘dumbwaiter’ yang berdaftar dan dipasang di negeri ini.
“Kita amat berharap semua jentera ini dapat dinaik taraf supaya kejadian tidak diingini dapat dikurangkan,” ujarnya.
Menurut Aguse lagi, JKKP Sarawak baru-baru ini mengadakan sesi dialog bersama Firma Yang Kompeten (FYK) lif dan eskalator untuk memastikan promosi tentang keselamatan dua jentera itu dapat dipertingkatkan di kalangan orang ramai.
“Secara keseluruhannya Orang Yang Kompeten (OYK) berdaftar adalah seramai 61 orang mewakili 17 FYK.
“Namun di negeri ini hanya terdapat dua orang OYK Tahap 1, seorang OYK Tahap 2 dan dua orang OYK Tahap 3,” jelasnya.