Breadcumb Caption
  • Archive News
  • 2014
  • Lahirkan hero kanak-kanak
Breadcumb Caption
  • Archive News
  • 2014
  • Lahirkan hero kanak-kanak

Lahirkan hero kanak-kanak

New StraitsTimes Online, 18 June 2014

news 26062014
Sebahagian daripada murid Sekolah Kebangsaan Sultan Ahmad Tajuddin, Jitra, Kedah, yang menyertai program OSH in School barubaru ini.

KIRA-kira dua tahun lalu seorang kanak-kanak berusia lapan tahun dari Amerika Syarikat, Austin Blance membuktikan kanak-kanak di bawah usia 10 tahun boleh melakukan pertolongan cemas dan bantuan pernafasan kecemasan ( CPR) dengan berkesan.

Kisah Austin menyelamatkan nyawa ibunya yang tiba-tiba rebah telah dilaporkan media di seluruh dunia. Ibunya, Kara O'Neil dikatakan mengalami serangan jantung dan sejurus selepas Austin melakukan CPR kepada ibunya dia terus menelefon talian penyelamat 911. Lebih mengejutkan, Austin belajar ilmu tersebut hanya selepas menyaksikan satu rancangan di saluran History dari televisyen di rumahnya.

Austin bukanlah satu-satunya kanak-kanak yang berjaya menyelamatnya satu nyawa menerusi pertolongan cemas dan CPR.

Seorang lagi kanak-kanak, Tristin Saghin, 9, juga berjaya menyelamatkan adik perempuannya yang berusia dua tahun yang dijumpai terapung dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam kolam renang di kediaman nenek mereka.

Tristin telah melakukan pernafasan dari mulut ke mulut, tekanan dada dan berjaya menyedarkan adiknya sementara ibu dan neneknya meminta bantuan.

Dapatkah anda bayangkan apakah yang akan terjadi kepada anda yang tiba-tiba rebah atau pengsan sekiranya tidak ada orang keliling yang berusaha melakukan bantuan kecemasan?

Dalam sesebuah institusi keluarga dan pendidikan, kanak-kanak merupakan insan yang dominan berada di sekeliling dan kewujudan mereka memainkan peranan yang penting dalam setiap suasana.

Adalah menjadi tanggungjawab orang dewasa yang prihatin untuk memberikan mereka lebih pemahaman dan keyakinan untuk melakukan sesuatu perkara.

Cuma persoalannya bagaimana setiap ibu bapa dan para guru dapat menerapkan budaya pertolongan cemas dan CPR dalam diri setiap pelajar selain daripada melibatkan diri dalam persatuan yang ada menyediakan modul pertolongan cemas dan CPR?

Prihatin terhadap isu tersebut Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Industri Malaysia (MiSHA) dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Ahmad Tajuddin, Jitra, Kedah, menganjurkan kempen Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Sekolah atau Occupational Safety Health (OSH) in School.

Melalui program setengah hari itu, para pelajar didedahkan dengan teknik pertolongan cemas dan CPR secara praktikal.

Menurut Presiden MiSHA, Aziz Basiran, lazimnya apabila berlaku sesuatu kemalangan seperti kebakaran, melecur, terjatuh atau luka dan sebagainya, orang keliling lebih ramai yang terpinga-pinga dan hanya memerhatikan sahaja.

"Jika menunggu bantuan kecemasan anda memang boleh mendail 999 tetapi ambulan akan sampai bergantung kepada keadaan lalu lintas.

"Dalam tempoh itu orang keliling sebenarnya boleh membantu jika mereka memiliki pengetahuan atau kemahiran dalam pertolongan cemas.

"Justeru, pendedahan awal mengenai OSH (Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan) penting bagi mereka menangani sesuatu kecemasan dengan tenang.

"Ilmu dan maklumat yang diperoleh juga dapat membantu mereka menangani kecemasan di tempat kerja kelak," katanya ditemui pada program OSH in School di SK Sultan Ahmad Tajuddin, baru-baru ini.

Selain didedahkan dengan dunia keselamatan di alam pekerjaan kelak, seramai 150 pelajar tahun lima yang menyertai program itu turut diajar cara-cara melakukan teknik pertolongan cemas dan CPR, serta beberapa aktiviti lain seperti berhadapan dengan situasi kecemasan di sekolah.

Aziz turut menyarankan Kementerian Pendidikan mewujudkan sukatan pelajaran khas berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di sekolah dalam usaha membudayakan amalan tersebut ketika berada di sekolah.

Menurutnya, pelaksanaannya itu penting untuk mendedahkan pelajar tentang aspek pencegahan dan ketika berhadapan dengan situasi kemalangan dalam kawasan sekolah.

Aziz berkata, MiSHA berhasrat untuk memperluaskan program OSH di institusi pengajian tinggi (IPT), peringkat tadika dan di kawasan perumahan penghujung tahun ini dalam usaha mencapai matlamat sifar kemalangan.

Beliau turut mencadangkan agar pihak bertanggungjawab mewujudkan satu anugerah keselamatan dan kesihatan bagi memberi penghargaan kepada sekolah-sekolah dan IPT yang mengamalkan sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Katanya, anugerah tersebut dapat menggalakkan pelajar membudayakan amalan murni itu sekali gus mampu mencapai matlamat sifar kemalangan di sekolah dan IPT. - NOOR FAZRINA KAMAL

Print Email