KUALA LUMPUR 28 Ogos - Projek transit aliran massa (MRT) akan siap mengikut jadual, meskipun berlaku kejadian runtuhan konkrit yang mengorbankan tiga pekerja pada 18 Ogos lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), Datuk Seri Idris Jala berkata, pihaknya komited projek itu akan siap mengikut kos asal yang ditetapkan sebelum ini.
Beliau berkata, semua kontraktor turut diminta melaksanakan tugas mengikut prosedur standard operasi (SOP) dan pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana kontraktor yang bersikap sambil lewa.
"Kami masih percaya projek itu dapat disiapkan pada penghujung 2016, kita tidak mengubah jadual masa ini. Malah, kami masih mampu menampung sebarang kos mengikut bajet yang ditetapkan," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar khas mengenai MRT, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan Gamuda Bhd., Datuk Lin Yun Ling.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam pada 18 ogos lalu, tiga pekerja binaan warga Bangladesh maut dihempap landasan konkrit seberat 650 tan di tapak projek MRT berhampiran Institut Penyelidikan Getah Malaysia di Kota Damansara.
Laporan kemalangan itu yang disediakan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (DOSH) dijangka siap penghujung minggu depan.
Projek MRT fasa pertama Sungai Buloh-Kajang sepanjang 51 kilometer itu yang bernilai RM23 bilion dijangka siap hujung tahun depan.
Dalam pada itu, Idris yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, pihaknya masih belum boleh mengambil tindakan ke atas kontraktor-kontraktor yang terlibat di dalam kemalangan itu, kerana masih perlu menilai laporan yang akan disediakan.
"SOP kita sudah cukup bagus, saya sendiri turun padang bagi melihat perjalanan projek ini dan saya berpuas hati. Dengan itu saya percaya projek ini tiada kelewatan dan mengikut bajet awal," katanya.
Jelas beliau lagi, pihaknya juga telah mengadakan perjumpaan dengan kontraktor-kontraktor yang terlibat dan mengingatkan mereka supaya melaksanakan kerja-kerja mengikut piawaian ditetapkan.