TNB, NIOSH tingkat pengurusan keselamatan - Utusan Online
Utusan Online, 20 Januari 2015
Pengarah Urusan Ilsas, Datuk Ir. Abdul Aziz Jaafar (kiri) bertukar-tukar dokumen dengan Pengarah Eksekutif NIOSH, Ir. Rosli Hussin (kanan) sambil diperhatikan Leo Moggie (tengah), Lee Lam Thye (dua dari kiri) dan Azman Mohd. (belakang, kanan) dalam Majlis menandatangani Memorandum Persafahaman Antara ILSAS dengan NIOSH, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/HALIM KHALID
KUALA LUMPUR 19 Jan. – Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan bekerjasama dengan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) bagi meningkatkan pengurusan keselamatan pekerjaan dalam kalangan kakitangan dan kontraktor yang dilantik.
Menurut Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie, menerusi kerjasama tersebut, pihaknya akan turut mengemaskini kursus-kursus mengenai keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) sedia ada agar sentiasa selari dengan keperluan semasa dan undang-undang.
“Kerjasama ini akan memantapkan usaha kami dalam me-ningkatkan kualiti latihan OSH di samping memastikan warga kerja TNB sentiasa menerima latihan terkini. Advertisement
“Perjanjian yang terjalin ini juga akan memberi kelebihan kepada TNB Intergrated Learning Solution Sdn. Bhd. (Ilsas) dalam mengekalkan mutu latihan serta membuka peluang kepada lebih ramai warga kerja TNB untuk memperoleh sijil kompetensi OSH,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Ilsas dengan NIOSH dan NIOSH Certification Sdn. Bhd. di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengerusi NIOSH, Tan Sri Lee Lam Thye dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir. Azman Mohd.
Dalam pada itu, Lam Thye berkata, pihaknya akan menyumbang kepakaran serta memberikan komitmen tinggi dalam usaha membantu TNB melatih kakitangannya agar lebih peka dengan risiko di tempat kerja.
“Jalinan kerjasama ini bukan sahaja membantu menjimatkan ribuan ringgit untuk bayaran perubatan atau pampasan kepada pekerja apabila berlaku kemalangan malahan mampu meningkatkan imej dan nilai korporat TNB.
“MoU ini juga merupakan platform terbaik untuk menjalankan konsultasi serta penyelidikan dalam bidang ini,” katanya.