Breadcumb Caption
  • Archive News
  • 2015
  • Kesalahan industri: Hampir RM1 juta
 denda dikeluarkan JKKP - Utusan Online
Breadcumb Caption
  • Archive News
  • 2015
  • Kesalahan industri: Hampir RM1 juta
 denda dikeluarkan JKKP - Utusan Online

Kesalahan industri: Hampir RM1 juta
 denda dikeluarkan JKKP - Utusan Online

Utusan Online, 28 Oktober 2015

news UO 281015
 

MUAR 27 Okt. – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) ne­geri mengenakan kompaun dan denda hampir RM1 juta atas pelbagai ke­salahan yang dilakukan pihak industri dari Januari hingga Julai lalu.

Pengarah JKKP negeri, Kormain Mohd. Noor berkata, jumlah tersebut melibatkan 92 kompaun dengan kutipan RM386,000 dan 46 kes pendakwaan di mahkamah melibatkan denda RM569,100.

“Antara kesalahan utama yang dilakukan ialah mesin dan jentera berbahaya di kilang termasuk jentera tidak mempunyai sijil perakuan kelayakan, bunyi bising dan penggunaan bahan kimia yang tidak mengikut Penaksiran Kesihatan Bahan Kimia (CHRA),” katanya dalam Majlis Pelancaran Operasi Pematuhan Perundangan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Dalam Sektor Perabot Negeri Johor 2015 di Dewan Persatuan Perabot Muar (MFA), Taman Tun Dr. Ismail, di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan timbalannya, Ibrahim Abdul Rahman.

Yang turut hadir Naib Presiden MFA, Ong Chong Kiong dan Setiausaha MFA, Lim Ching Kiong.

Mengenai kompaun, Kormain berkata, kutipan bagi tempoh tujuh bulan itu meningkat berbanding tempoh kutipan sepanjang tahun lalu, iaitu RM278,000 yang melibatkan 129 kompaun dan pada 2013 berjumlah RM81,500 dengan 32 kompaun.

Menurutnya, operasi pematuhan keselamatan itu dilaksanakan selama tiga hari bermula hari ini bertujuan memastikan semua pemilik kilang perabot mematuhi undang-undang berkaitan keselamatan dan kesi­hatan.

Antara yang diperiksa adalah polisi keselamatan, organisasi kesela­matan, perancangan dan pelaksanaan program selain penilaian program dan tindakan penambahbaikan yang sudah dilakukan, katanya.

Terdapat lebih 500 kilang perabot di daerah ini, sekali gus merupakan terbesar di negeri ini yang merupakan penyumbang utama industri pe­rabot negara termasuk untuk pa­saran eksport.

“Menerusi operasi ini diharapkan bilangan kemalangan dalam sektor pembuatan perabot dapat dikurangkan. Statisik JKKP Johor pada tahun 2013, 2014 dan 2015 menunjukkan penurunan jumlah kes kemalangan maut menunjukkan penurunan, masing-masing 13, 15 kepada tujuh kes,” katanya.

 

Print Email