Seorang maut lima cedera dalam kejadian letupan kapal - Utusan Online
Utusan Online, 19 April 2016
Seorang daripada lima mangsa cedera dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan dipercayai susulan satu letupan gas dalam sebuah kapal manakala seorang maut di tempat kejadian di perairan Pulau Pinang kira-kira pukul 10.45 Isnin malam. Mangsa-mangsa dipercayai warga negara asing.-GAMBAR/BERNAMA
PERMATANG PAUH 19 April - Seorang anak kapal Heung-A Pioneer terbunuh manakala lima yang lain cedera selepas berlaku letupan di atas kapal itu yang berada di perairan Tanjung Dawai malam tadi.
Dalam kejadian itu, lima mangsa yang cedera adalah anak kapal warganegara Korea dan Myanmar manakala mangsa yang maut masih belum dikenal pasti.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) Rosihan Adi Baharudin dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.05 malam daripada kapal yang berada kira-kira dua jam perjalanan dari pelabuhan.
Menurutnya, PPSB kemudiannya menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Balai Polis Butterworth dan Hospital Seberang Jaya untuk mendapatkan bantuan kecemasan.- UTUSAN ONLINE