Gantung lesen kontraktor cuai. - Utusan Online
Utusan Online, 17 Oktober 2016
KUALA LUMPUR 16 Okt. - Syarikat kontraktor penyenggaraan lif berdepan dengan tindakan pembatalan dan penggantungan lesen sekiranya terbukti gagal menjalankan aspek penyenggaraan dengan baik.
Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Datuk Ir. Mohtar Musri berkata, langkah ini bagi memberi pengajaran kepada kontraktor cuai sehingga mengancam keselamatan penghuni.
Menurutnya, setakat ini le-sen dua syarikat telah digantung kerana didapati mengabaikan aspek keselamatan.
“Pemaju perumahan bertingkat juga perlu memastikan lif yang beroperasi berdaftar dengan JKKP dan diperiksa setiap 15 bulan bagi memperbaharui Sijil Perakuan kelayakan mengguna (CF) kemudahan tersebut.
“Sehingga September 2016, terdapat 36 aduan melibatkan lif di sekitar Kuala Lumpur telah disiasat JKKP.
“Daripada jumlah tersebut, 80 peratus daripadanya melibatkan aduan kerosakan dan terperangkap di dalam lif,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar pengurusan keselamatan dan penyelenggaraan lif di komuniti strata 2016 di sini.
Tambah Mohtar, pengguna juga perlu menggunakan lif secara berhemah serta tidak melakukan vandalisme dan segera melaporkan kepada pihak pengurusan jika terdapat sebarang kerosakan.
“Boleh dikatakan setiap hari kita menggunakan lif, justeru kesedaran tentang aspek keselamatan wajar dipupuk dan tidak diambil mudah agar kemalangan dapat dielakkan,” katanya.