Breadcumb Caption
  • Archive News
  • 2017
  • Jentolak makan tuan - Harian Metro Online
Breadcumb Caption
  • Archive News
  • 2017
  • Jentolak makan tuan - Harian Metro Online

Jentolak makan tuan - Harian Metro Online

Harian Metro Online, 17 Februari 2017

 

 

Sungai Siput: Seorang lelaki warga emas ditemui meninggal dunia di bawah tayar sebuah jentolak di Perlop 2, Kampung Lasah di sini, pagi semalam dipercayai akibat digilis jentera berat terbabit ketika cuba membaikinya.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sungai Siput Deputi Superintendan A Pamnaswaran berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian terbabit jam 8.05 pagi.

“Mangsa dikenal pasti sebagai Dzuhir Mohd Isa yang berusia 69 tahun dan berasal dari Perlop 2. Siasatan awal mendapati mangsa yang juga pemandu jentolak dan bekerja sendiri dipercayai hendak membaikinya sebelum jentolak terbabit menggelongsor ke belakang.

“Mangsa yang berada di bahagian tayar kanan belakang kemudiannya digilis. Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi susulan kecederaan parah di kepala,” katanya ketika dihubungi.

Pamnaswaran berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sungai Siput untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Siput Pegawai Bomba Kanan l Mohamad Zaidi Md Lazim berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian jam 8.47 pagi.

“Berdasarkan maklumat awal yang kami peroleh, mangsa dipercayai dihempap jentera berat itu semalam (kelmarin) dan kejadian hanya disedari pagi tadi (semalam).

“Kami mendapatkan bantuan jengkaut untuk mengangkat jentera berkenaan bagi membolehkan mangsa dikeluarkan,” katanya.

Katanya, operasi membabitkan lapan anggota dengan dua jentera termasuk Unit Penyelamat dan Paramedik selesai jam 9.55 pagi.

Print Email