Bina kesedaran umum guna eskalator cara betul - Harian Metro Online
Harian Metro Online, 15 Mei 2017
Norsabrina (kiri) dan Hazlina (tengah) mendengar penerangan cara penggunaan eskalator yang betul
Alor Setar: Sikap dan kecuaian orang ramai ketika menggunakan eskalator antara faktor berlakunya kemalangan tidak dijangka di kompleks beli-belah, pasar raya atau bangunan tinggi.
Menyedari hal itu, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) negeri semalam, mengadakan Program Keselamatan Penggunaan Eskalator dan Lif (LIFE2017) bagi memberi penerangan kepada orang awam, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pengurusan pusat beli-belah.
Pengarahnya, Hazlina Yon berkata, program anjuran bersama Persatuan Lif dan Eskalator Malaysia (MALEA) adalah saluran maklumat berkaitan peranan kerajaan, firma kompeten lif, pemunya dan pengguna eskalator serta lif dalam memastikan jentera itu berada dalam keadaan selamat bagi mengelakkan berlakunya kemalangan.
Beliau berkata, program itu satu daripada program Strategi 3 Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan atau OSHMP2020 iaitu perkongsian dan jaringan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP).
“Di seluruh Kedah terdapat 350 unit eskalator dan 814 unit lif berbanding di seluruh negara ini sebanyak 11,305 eskalator dan 57,461 unit lif.
“Jadi, penting bagi kami untuk mengadakan program sebegini bagi memberi kesedaran kepada umum mengenai bahaya yang dihadapi oleh mereka jika eskalator dan lif ini tidak digunakan dengan betul,” katanya pada sidang media di Aman Central, di sini, semalam.
Program itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi dan Sumber Tenaga Manusia negeri, Datuk Norsabrina Mohd Noor.
Hazlina berkata, sepanjang Februari hingga Jun tahun lalu, JKKP Kedah melakukan operasi selamat penggunaan eskalator di semua premis di negeri ini dan hasilnya 123 surat arahan serta 23 notis pembaikan dan larangan dikeluarkan terhadap premis bangunan terbabit.
Beliau berkata, tahun ini pihaknya melakukan 158 pemeriksaan ulangan lif penumpang dan 56 eskalator sejak Januari hingga April lalu.
“Daripada jumlah itu, 39 surat arahan serta 21 notis pembaikan dan larangan dikeluarkan. Antara kesalahan yang dilakukan adalah ketidakpatuhan dan kecacatan dikesan pada eskalator, tidak memasang ‘anti climbing’, ‘skirt brush’ serta ‘comb’ yang patah serta ruang yang besar antara tangga dan ‘skirt’,” katanya.
Dalam pada itu, Norsabrina menasihatkan orang ramai terutama ibu bapa yang membawa anak-anak mereka ke pasar raya atau kompleks beli-belah supaya mengawasi anak mereka ketika menggunakan eskalator bagi mengelakkan perkara buruk berlaku.
Katanya, antara kejadian yang berlaku termasuklah, tali kasut atau lebihan kain tersangkut pada eskalator atau kereta sorong bayi yang dibawa boleh mengundang kemalangan jika kecuaian berlaku.
“Alor Setar dan Sungai Petani paling banyak mempunyai eskalator kerana mempunyai pembangunan pesat, namun kita akan mengadakan aktiviti sebegini (kempen) lebih kerap supaya orang ramai lebih berhati-hati dan mempunyai kesedaran untuk mengelakkan kemalangan berlaku,” katanya.