Breadcumb Caption
  • Archive News
  • 2017
  • JKKP mahukan peranan DKP dimaksimumkan - Sinar Harian Online
Breadcumb Caption
  • Archive News
  • 2017
  • JKKP mahukan peranan DKP dimaksimumkan - Sinar Harian Online

JKKP mahukan peranan DKP dimaksimumkan - Sinar Harian Online

Sinar Harian Online, 18 Mei 2017

 

 

ALOR SETAR - Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) mahukan peranan Doktor Kesihatan Pekerjaan (DKP) dimaksimumkan dalam mengenal pasti kes-kes membabitkan penyakit dan keracunan yang menimpa pekerja berpunca daripada aktiviti dan persekitaran di tempat kerja.

Pengarah Bahagian Kesihatan Pekerjaan JKKP, Dr Ahmad Fitri Abdullah Hair berkata, pihaknya hanya menerima kira-kira 7,080 kes mengenai penyakit berkaitan pekerjaan pada 2015 dan jumlah itu adalah sangat rendah.

JKKP menyasarkan peningkatan laporan berkaitan penyakit pekerjaan kepada 30 peratus  daripada  perangkaan 2015 menjelang 2020 melalui Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHMP2020),  katanya  selepas perasmian Program Dialog  Pengamal Perubatan Zon Utara 2017 di sini hari ini.

"Dalam masa yang sama, kami turut mendapatkan kerjasama daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial  (Perkeso) untuk mengetahui jumlah pekerja yang mengalami penyakit pekerjaan seperti kehilangan deria dengar, penyakit berkait pernafasan atau kulit malah barah kerana penyakit pekerjaan ini mengambil tempoh yang lama untuk dikesan.

Ahmad Fitri juga berkata  sepanjang 2016, sebanyak 3,040 laporan pengawasan perubatan diterima di seluruh Malaysia.

"Agak membimbangkan kerana laporan pengawasan hanya diterima dari 170 DKP sedangkan terdapat 562 DKP yang aktif di seluruh negara.

Kami percaya, faktor jumlah pekerja-majikan yang ramai berbanding DKP dan isu kontrak di antara DKP dengan klinik panel majikan menjadi faktor yang menyumbang kepada jumlah pelaporan oleh DKP tersebut," katanya.

Ahmad Fitri turut berkata, ketika ini masih ramai majikan yang tidak faham kepentingan pengawasan perubatan dan ada  antara mereka hanya melakukannya selepas mendapat arahan dari JKKP di sebabkan kesedaran yang rendah antara  Pegawai  Keselamatan dan Kesihatan (SHO) dan majikan.

"Di bawah OSHMP2020, kami menetapkan keberhasilan untuk meningkatkan kesedaran majikan, pekerja dan pengamal keselamatan dan kesihatan pekerja terhadap faktor kebersihan dalam industri,"

Program itu dirasmikan oleh Pengarah JKKP Kedah Hazlina Yon dengan kehadiran lebih 50 Doktor Kesihatan Pekerjaan (DKP) dan pengamal perubatan dari Perlis, Kedah dan Pulau Pinang. - Bernama

Print Email