Gagal jalani pemonitoran awalan, JKKP ambil tindakan tegas - utusan Online
Utusan Online, 16 Ogos 2018
KUCHING 16 Ogos - Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Sarawak memberi amaran tidak teragak-agak mengambil tindakan kompaun terhadap syarikat yang gagal menjalankan pemonitoran awalan pendedahan bunyi bising kepada pekerja.
Pengarahnya, Dr. Ir Nor Halim Hasan berkata, tindakan kompaun diambil oleh jabatan setelah pihak majikan ingkar untuk melaksanakan tanggungjawap melindungi pekerja masing-masing.
Malah, ujar beliau, pihaknya akan mengambil tindakan mahkamah sekiranya kesalahan tersebut masih berterusan dilakukan oleh para majikan.
“Tindakan kompaun diambil kerana terdapat peningkatan laporan kes penyakit berkaitan pekerjaan dari tahun ke tahun
“Pada tahun lalu sahaja, terdapat 476 kes dilaporkan kepada JKKP Sarawak melibatkan penyakit pekerjaan dan kes tertinggi dicatatkan ialah penyakit hilang pendengaran, iaitu 432 kes,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kebiasaannya masalah bunyi bising adalah disebabkan bunyi dihasilkan oleh jentera dan mesin yang digunakan di tempat kerja melebihi tahap 85 desibel (dB)(A).
Beliau berkata, situasi itu amat membimbangkan dan Kementerian Sumber Manusia melalui JKKP Sarawak telah mengambil langkah mengenakan tindakan tegas terhadap syarikat yang tidak mematuhi Peraturan-Peraturan Kilang dan Jentera (Pendedahan Bunyi Bising) 1989, Akta Kilang dan Jentera.
Menurutnya, di bawah akta tersebut, mana-mana individu yang melanggar peruntukan Peraturan-Peraturan Kilang dan Jentera (Pendedahan Bunyi Bising) 1989 adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM1,000.
“Dengan adanya tindakan ini, ia diharap dapat memberi mesej kepada pihak majikan supaya mematuhi peraturan yang sedia ada.
“Majikan diingatkan supaya sentiasa melibatkan pekerja dalam menangani masalah bunyi bising di tempat kerja.
“Hal ini kerana kombinasi antara majikan yang prihatin, pekerja yang produktif, sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang efektif serta keadaan persekitaran yang kondusif dapat menjadi pemangkin kepada peningkatan daya saing industri dan negara secara keseluruhannya,” ujar beliau.
Selain itu, katanya, pihak pekerja dan majikan juga harus berganding bahu membudayakan keselamatan serta kesihatan pekerjaan di tempat kerja. - UTUSAN ONLINE