Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 akan dipinda - Mahfuz - Kosmo Online
Kosmo Online, 24 September 2018
PUTRAJAYA - Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 akan dipinda bagi memperkemaskan lagi peraturan sedia ada mengikut keperluan semasa, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar.
Pindaan yang dijangka dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat Oktober depan akan menjadi "game-changer” terhadap keberkesanan penguatkuasaan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) serta pematuhan oleh pihak majikan dan pekerja.
Pindaan itu juga akan memperkasakan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) dalam memberikan latihan, khidmat nasihat serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) kepada kerajaan serta pihak industri.
“Ruang lingkup akta ini akan lebih menyeluruh dan kita menyediakan pemboleh-ubah supaya kita dapat membuat peraturan yang lebih spesifik untuk satu keadaan tertentu apabila ada keperluan.
"Kita juga melihat penalti yang akan ada perubahan besar. Pindaan ini juga akan memberi perlindungan kepada petugas media,” katanya selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (COSH 2018) kali ke-21 di sini hari ini.
Mahfuz yang juga Pengerusi Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan berkata, melalui pindaan itu juga, kementerian akan berusaha menerapkan kesedaran mengenai penguatkuasaan kendiri dalam kalangan majikan dan pekerja memandangkan JKKP tidak mempunyai tenaga penguat kuasa yang mencukupi untuk membuat pemeriksaan di seluruh negara. - Bernama