Maut jatuh 25 meter - Harian Metro Online
Harian Metro Online, 08 Mac 2019
PEKERJA warga Pakistan maut selepas terjatuh pada ketinggian 25 meter dari bumbung di terminal petroleum laut dalam di Pengarang, Johor Bahru, kelmarin.
Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor, Ir Dasuki Mohd Heak berkata, kejadian 9.40 malam itu berlaku ketika mangsa berusia 27 tahun bersama tiga rakannya dalam perjalanan turun melalui pelantar laluan pekerja.
Katanya, selepas mangsa dan rakannya selesai menjalankan tugas di atas bumbung tangki bernombor 108-9, mereka perlu turun dan naik pula ke tangki bernombor 108-10.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa mengambil jalan pintas dengan cuba melintasi bahagian bumbung yang masih terbuka tanpa menggunakan pelantar laluan kerja yang disediakan.
“Mangsa terjatuh dari ketinggian lebih kurang 25 meter dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang bertugas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, katanya, JKKP Johor mengeluarkan satu notis pemberhentian kerja serta-merta ke atas segala aktiviti membabitkan kerja di atas bumbung tangki.
“Dua notis pembaikan ke atas laluan titi samping di atas tangki dan juga pendawaian elektrik di atas tangki juga sudah dikeluarkan.
“Tindakan perundangan akan diambil sekiranya didapati terdapat pelanggaran peraturan mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (1994) ke atas pihak yang bertanggungjawab,” katanya.
JKKP, katanya, memandang serius setiap kemalangan yang berlaku terutamanya membabitkan pekerja, orang awam mahupun harta benda.
“Semua penggiat industri digesa supaya bergerak seiring dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing untuk menjadikan tempat kerja selamat dan sihat melalui penerapan Budaya Pencegahan,” katanya.