Warga Politeknik Melaka diberi latihan aspek keselamatan
Utusan Online, 7 November 2013
MELAKA 6 Nov. - Politeknik Melaka mengambil langkah proaktif dengan menekankan aspek keselamatan dalam kalangan warganya dengan mengadakan Program OSH@POLY III 2013 anjuran Jawatankuasa Pelaksana Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) di sini baru-baru ini.
Pengarahnya, Rashidah Mustapa berkata, program itu bertujuan memberi pendedahan di samping meningkatkan tahap kesedaran kepada pensyarah, pelajar dan staf sokongan terutamanya yang melibatkan kerja-kerja kejuruteraan berisiko tinggi.
Menurutnya, penerapan dan penekanan dalam aspek keselamatan serta kesihatan di institusi itu dapat memupuk budaya selamat dan sihat dalam kalangan pelajar dan pensyarah sekali gus melahirkan tenaga kerja bijak, selamat dan sihat.
"Setiap peserta didedahkan dengan pelbagai teknik serta kaedah yang perlu dipatuhi ketika bekerja dengan melakukan langkah dan tindakan secara serius di mana sikap peka terhadap persekitaran membantu pengurangan kemalangan dan penyakit sewaktu bekerja.
"Pelaksanaan program ini diharapkan mampu memberi kesedaran kepada warga Politeknik Melaka dan seterusnya akan disebarluas sebagai tanggungjawab bersama dalam mempromosikan budaya kerja yang selamat serta sihat," katanya.
Program itu turut diisi dengan pelbagai aktiviti menarik antaranya latihan kebakaran, taklimat Pelan Tindakan Pengungsian Bangunan Ketika Menghadapi Bencana dan Kecemasan, ceramah keselamatan kesedaran kebakaran dan demonstrasi pemadam api oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.