Berita Harian Online, 21 Februari 2013
KUALA LUMPUR: Laluan pertama My Rapid Transit (MRT) Sungai Buloh-Kajang dijangka siap mengikut jadual pada Jun 2017 dengan tujuh peratus landasan telah siap dibina setakat ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Mass Rapid Transit Corp Bhd (MRT Corp), Datuk Azhar Abdul Hamid, berkata kemajuannya dijangka berjalan lancar di masa depan.
"Mustahak bagi kami untuk menyiapkan projek ini tepat pada masa dalam kos yang ditetapkan. Kami tidak boleh membuat sebarang kesilapan.
"Baki 18 pakej bagi Laluan 1 dijangka diberikan sepenuhnya pada suku pertama tahun depan," katanya kepada pemberita selepas majlis permeterian Memorandum Persefahaman (MoU) antara MRT Corp dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) hari ini.
MoU itu dimeterai Azhar, sebagai mewakili MRT Corp, manakala CIDB diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Dr Judin Abdul Karim.
Mengikut MoU itu, CIDB akan menyediakan latihan induksi keselamatan bagi kira-kira 12,000 kakitangan projek MRT, serta, menilai kepatuhan projek kepada syarat-syarat keselamatan dan kesihatan.
CIDB juga akan menyediakan latihan dalam perdagangan yang berkaitan dengan keperluan projek MRT dan mengakreditasikan pekerja pembinaan yang bekerja dalam projek itu.
Sementara itu, bagi laluan kedua dan ketiga projek MRT yang belum diumumkan lagi Azhar berkata: "Saya mengagak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan mengadakan mesyuarat tidak lama lagi dan perbincangan awal tentang bagaimana kami harus meneruskan kemajuan projek."
Pelancaran laluan kedua dan ketiga dijangka diumumkan pada akhir tahun yang ketika ini sedang dalam fasa kajian kebolehlaksanaan oleh SPAD.
Laluan MRT Sungai Buloh-Kajang, merangkumi kawasan sejauh 51 kilometer, akan melalui bandar raya dan dibangunkan dalam dua fasa.
Fasa pertama, dari Sungai Buloh ke Semantan, dijangka beroperasi pada Disember 2016. - BERNAMA