Tindak balas kimia punca kilang hangus
Berita Harian, 27 March 2013
Butterworth: Tindak balas kimia dipercayai menjadi punca kebakaran sebuah kilang memproses bahan kimia di Kawasan Perindustrian Perai, hingga mengorbankan seorang juruteknik dan mencederakan empat yang lain, pagi kelmarin.
Penolong Pengarah Bahagian Penyiasatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohamadul Ehsan Mohd Zain, berkata pihaknya menolak unsur jenayah mahu pun khianat hingga menyebabkan kejadian.
Sebaliknya, katanya, siasatan awal mendapati kebakaran disebabkan kemalangan kerana bahan kimia sememangnya bahan mudah terbakar.
Teruskan siasatan
“Kita sudah memulakan siasatan di lokasi kejadian sejak semalam (kelmarin) dan hari ini (semalam) kita masih meneruskannya dan dijangka siap Khamis ini (esok).
“Berdasarkan siasatan awal, kebakaran mungkin berpunca daripada tindak balas kimia. Bagaimanapun kita akan siasat secara menyeluruh sama ada pekerja juga ada mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang betul,” katanya di sini, semalam.
Beliau berkata, pihaknya juga sudah mengambil keterangan beberapa saksi kejadian bagi membantu siasatan.
Sementara itu, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang turut menghantar pegawai bagi menjalankan siasatan berhubung kejadian.
Pengarahnya, Mohd Anuar Embi, berkata kilang itu juga diarahkan untuk menghentikan operasi buat sementara waktu bagi membolehkan siasatan dilakukan.
“Siasatan kini masih di peringkat awal dan kita ada menghantar pegawai untuk menyiasat serta mengenal pasti beberapa saksi utama kejadian untuk diambil keterangan,” katanya.
Dalam kejadian jam 11.40 pagi kelmarin, Roslan Othman, 40, yang bertugas sebagai juruteknik di kilang itu maut dipercayai akibat sesak nafas selepas stor menyimpan bahan kimia bercampur logam meletup lalu membakar bahagian pengeluaran kilang yang terletak di tingkat tiga.