Kerja di persimpangan jambatan kedua Pulau Pinang bersambung
Berita Harian Online, 31 Ogos 2013
GEORGETOWN: Kerja pembinaan di bahagian Persimpangan Batu Maung di Jambatan Kedua Pulau Pinang bersambung semula selepas mendapat kebenaran Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang.
Penasihat Perhubungan Awam dan Komunikasi Jambatan Kedua Sdn Bnd (JKSB), Datuk Mohammad Salleh Rafie berkata, kerja di Tanjakan 1 dan Tanjakan 2 (Pakej 3A) persimpangan itu bersambung semula sejak beberapa minggu lalu.
Kerja di persimpangan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, yang sedang dalam pembinaan sebelum ini, ditangguhkan selepas tanjakan konkrit di persimpangan itu runtuh pada 7 Jun lalu.
"Kami minta orang ramai supaya tidak bimbang tentang keselamatan memandangkan perkara itu diberi perhatian penuh. Jambatan itu selamat untuk digunakan dan akan dibuka kepada orang ramai Oktober ini," kata Mohammad Salleh.
Beliau berkata demikian selepas pengujian dan perlengkapan jalan serta lampu hiasan Jambatan Kedua Pulau Pinang buat pertama kali, bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-56 kemerdekaan negara malam tadi.
Mohammad Salleh berkata, JKSB menjangkakan kontraktor bagi pakej 3A dapat menyiapkan kerja sebelum 8 Oktober, dan jalan di sekitar pakej itu akan dibuka, sebaik sahaja persimpangan itu siap.
Beliau berkata, Jambatan Kedua Pulau Pinang kini siap 97.5 peratus, dan menambah projek mega oleh kerajaan persekutuan itu akan memacu pertumbuhan ekonomi dan pembangunan terutamanya di Wilayah Ekonomi Koridor Utara.
Jambatan Kedua Pulau Pinang yang dibina dengan kos RM4.5 bilion merentangi sepanjang 23.5km dengan 16.9km di atas laut, akan menghubungkan Batu Kawan di tanah besar dan Batu Maung di pulau.
Di majlis pengujian lampu itu, pemegang konsesi JKSB berkata kira-kira 105 tiang lampu jalan diaktifkan buat pertama kali untuk menunjukkan projek itu berjalan dengan baik, dengan jambatan diterangi cahaya lampu biru dan putih. - BERNAMA