Maut pindah ammonia
Harian Metro, 15 Januari 2014
Seorang penyelia logi gas sebuah kilang maut apabila saluran injap yang menyambungkan hos ketika proses pemindahan gas ammonia di logi tangki dipercayai tercabut dan terpelanting kearahnya dalam kejadian di Kawasan Tangga Batu, di sini semalam.
Dalam Kejadian kira-kira jam 2.15 pagi, mangsa dikenali sebagai Muthu Krishnan, 53, dari Kota Laksamana, cedera parah di kepala dan mati di tempat kejadian.
Difahamkan, insiden turut menyebabkan seorang pemandu treler di logi itu dikejarkan ke Hospital Melaka bagi menerima rawatan lanjut selepas terhidu gas ammonia.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamatan negeri berkenaan, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 2.19 pagi dan seramai 25 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tangga Batu, Kubu dan Ayer Keroh bersama tiga jentera termasuk sebuah jentera Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) dikejarkan ke tempat kejadian.
"Sejurus tiba 10 minit kemudian, bomba berjaya menutup injap utama di tangki logi berkenaan dan melakukan kerja mengawal pencemaran gas ammonia itu.
"Insiden dipercayai turut menyebabkan seorang pemandu treler di logi itu terhidu bau gas berkenaan sebelum mangsa dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka untuk rawatan lanjut," katanya, disini, semalam.
Sementara itu, suasana sayu menyelubungi pekarangan Rumah Mayat Hospital Melaka apabila anak-saudara hadir untuk menuntut mayat mangsa.
Abang mangsa dikenali Munusamy, 60-an berkata, adiknya bekerja di kilang itu sejak 20 tahun lalu.
"Mendiang tinggal di Kota Laksamana dengan tiga anak yang sudah dewasa, katanya