news 18082014 uo
RUNTUHAN konkrit di tapak projek pembinaan MRT di Kota Damansara, Selangor, malam tadi.

PETALING JAYA 18 Ogos - Tiga pekerja binaan warga Bangladesh dikhuatiri tertimbus apabila blok konkrit di tapak projek pembinaan landasan Transit Aliran Massa (MRT), Kota Damansara berhampiran Hospital Pusrawi Damansara di sini, runtuh malam ini.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 8.30 malam dan ketiga-tiga mangsa dipercayai tersepit, bagaimanapun keadaan mereka belum dapat dipastikan setakat 12 tengah malam ini.

Mangsa yang dikhuatiri tertimbus ialah Mohamad Faruk Khan, Mohammad Elahi Hossain dan Mohammad Alauddin Mollik.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd. Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.46 malam dan jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh dan Damansara sampai di tempat kejadian pada pukul 10.03 malam.

"Kerja-kerja mencari dan menyelamatkan tiga mangsa yang dikhuatiri tertimbus sedang dijalankan oleh Unit Anjing Pengesan (K9) dan Pasukan Penyelamat, Operasi dan Taktikal Khas (STORM) Bomba Selangor," katanya.

Sementara itu, Mass Rapid Transit Sdn. Bhd. (MRT Corp.) dalam kenyataannya malam ini mengesahkan tiga pekerjanya terperangkap dalam runtuhan itu yang lokasinya berhampiran Institut Penyelidikan Getah Malaysia, dekat sini.

"Runtuhan melibatkan konkrit seberat 300 tan dan 38 meter panjang. Nasib semua pekerja belum diketahui," katanya.

Sementara itu, para pemberita yang berada di tempat kejadian tidak dibenarkan masuk ke tempat runtuhan.