KUALA LUMPUR 19 Ogos - Salah seorang daripada empat pekerja binaan warga Bangladesh sempat melompat dari ketinggian 38 meter ketika satu bahagian konkrit di tapak landasan projek Transit Aliran Massa (MRT) di Kota Damansara di sini runtuh malam tadi.
Ketua Pegawai Eksekutif Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp), Datuk Azhar Abdul Hamid berkata, mangsa mengalami kecederaan dan dibawa ke hospital berdekatan untuk rawatan.
"Bagaimanapun tiga lagi rakannya dihempap oleh konkrit seberat 650 tan itu dan dipercayai mati," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian itu lewat malam tadi.
Azhar berkata, sehingga pukul 1 pagi ini, pasukan penyelamat masih menjalankan operasi mengeluarkan mangsa.
Beliau berkata, MRT bertanggungjawab penuh atas kejadian yang pertama kali berlaku ini dan kerja-kerja pembinaan di lokasi tersebut akan dihentikan sehingga usaha menyelamat selesai dijalankan. - UTUSAN ONLINE