news 27082014
Fadillah Yusof (tengah) ketika membuat lawatan ke tapak projek seliaan Jabatan Kerja Raya bagi menaik taraf Hospital Kuala Lumpur di Jalan Pahang, Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA

KUALA LUMPUR 26 Ogos - Kontraktor projek pembinaan landasan Transit Aliran Massa (MRT) di Kota Damansara di sini berdepan tindakan disenaraihitam atau dibatalkan pendaftaran jika dapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) dalam kejadian runtuhan konkrit yang mengorbankan nyawa tiga pekerja pada 18 Ogos lalu.

Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof berkata, DOSH bertanggungjawab menjalankan siasatan terperinci dalam kejadian berkenaan termasuk melibatkan aspek pematuhan sistem kerja-kerja selamat, teknikal dan kejuruteraan sebelum menentukan tindakan lanjut seperti membawa kes ke mahkamah atau mengeluarkan kompaun terhadap pihak yang didapati bersalah.

"Jika mereka didapati bersalah di bawah akta DOSH, maka Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) boleh menyenaraihitam atau membatalkan pendaftaran kontraktor terlibat.

"CIDB akan bertindak selepas DOSH menyelesaikan tindakan. Pihak berkuasa tempatan juga mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan dalam kejadian itu,'' katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke tapak projek menaik taraf Hospital Kuala Lumpur di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam pada 18 Ogos lalu, tiga pekerja binaan warga Bangladesh maut dihempap landasan konkrit seberat 650 tan di tapak projek MRT berhampiran Institut Penyelidikan Getah Malaysia di Kota Damansara.

Sementara itu, Fadillah berkata, CIDB mengeluarkan sejumlah 2,272 notis kepada kontraktor di seluruh negara yang melakukan pelbagai kesalahan seperti melaksanakan projek di luar bidang dan gred serta mengupah pekerja tidak mempunyai Kad Hijau sepanjang tujuh bulan pertama tahun ini.

Menerusi operasi pemeriksaan ke atas 2,000 tapak pembinaan, kata beliau, lembaga itu turut mengeluarkan 21 notis arahan pemberhentian kerja kepada kontraktor tidak berdaftar selain mengenakan tindakan tatatertib ke atas beberapa kontraktor yang melanggar Peraturan-Peraturan Pendaftaran Kontraktor (Industri Pembinaan) 1995.

"Sejak Januari lalu, sebanyak 98 kontraktor dibawa ke prosiding tatatertib dan 19 daripadanya digantung pendaftaran, tiga ditarik balik pendaftaran dan selebihnya diberikan amaran," ujar beliau.

Mengenai operasi pemeriksaan pencegahan nyamuk aedes di tapak pembinaan, beliau memberitahu, daripada 304 tapak di seluruh negara yang diperiksa dari Mac hingga 22 Ogos lalu, sebanyak 236 atau 77.63 peratus dikesan bermasalah atau berisiko menjadi sarang pembiakan jentik-jentik atau telah menjadi tempat pembiakan.

Katanya, sejumlah 70 kompaun dikeluarkan dengan 77 premis ditutup dan 86 tapak pembinaan diarah melakukan pembersihan oleh DOSH manakala bagi pemeriksaan 213 tapak pembinaan di kawasan panas denggi dalam tempoh sama, sejumlah 165 buah dikesan mempunyai masalah berkaitan pembiakan nyamuk aedes.

"Daripada 213 tapak pembinaan yang diperiksa itu pula, 172 terletak di Selangor dan 41 di Wilayah Persekutuan. Kami memandang serius isu ini berdasarkan kepada penemuan-penemuan berkenaan,'' katanya.

Dalam pada itu, Fadillah memberitahu, sejumlah 70 kemalangan di tapak pembinaan disiasat sepanjang enam bulan pertama tahun ini melibatkan 25 kes kemalangan maut, satu hilang keupayaan kekal manakala 44 kes lagi merupakan kecederaan tanpa hilang upaya kekal.

Berhubung lawatannya ke tapak projek cadangan menaik taraf Hospital Kuala Lumpur itu, beliau berkata, Jabatan Kesihatan telah mengeluarkan nasihat kepada kontraktor supaya melakukan pembersihan di tempat-tempat berisiko membiak jentik-jentik dalam tempoh tujuh hari mulai hari ini.