Pekerja binaan maut ditimpa batu bata
Berita Harian Online, 13 September 2014
GEORGETOWN: Seorang pekerja binaan warga Bangladesh maut selepas ditimpa batu bata ketika membuat kerja di tapak projek pembinaan di Jalan Pantai Sinaran Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di sini, hari ini.
Lelaki itu dikenali sebagai Lablu, 34; sementara rakan sekerjanya dikenali sebagai Babu Miah, 37, cedera bersama lima pekerja lain.
Kemalangan berlaku di bahagian bawah di tapak projek berkenaan.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid, berkata dalam kejadian jam 2.30 petang itu, jentera kren yang memindahkan batu bata ke bahagian atas bangunan terjatuh dan sebahagiannya menimpa mangsa dan rakannya.
"Pemeriksaan atas badan mangsa mendapati kecederaan pada bahagian kepala dan tangan manakala rakannya yang cedera sedang menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Pulau Pinang. Keadaannya dilaporkan kritikal," katanya, di sini.
Mior Faridalatrash berkata, pengemudi kren dibawa ke Balai Polis Jelutong untuk diambil keterangan. - BERNAMA