Letupan akibat percikan api- Harian Metro
Harian Online, 14 Mac 2018
DUA pekerja cedera parah, manakala kapten kapal cedera ringan pada muka dalam kejadian letupan membabitkan sebuah kapal tangki di Tanjung Manis, Mukah, hari ini.Ketua Zon 4 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Misran Bisara berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada 10.42 pagi dipercayai ketika kapal berkenaan berlabuh untuk menjalani proses penyelenggaraan.
“Bertindak atas laporan, seramai 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Manis, selain BBP Sungei Merah dikejarkan ke lokasi kejadian bersama dua jentera serta sebuah ambulans paramedik.“Berdasarkan maklumat yang diterima, terdapat 15 kru dan lima pekerja sebuah syarikat penyelenggaraan berada dalam kapal berkenaan ketika kejadian berlaku," katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati letupan berlaku ketika pekerja terbabit melakukan kerja-kerja penyelenggaraan, sekali gus merosakkan bahagian atas dek kapal berkenaan.“Difahamkan, kapal itu sebelum ini digunakan bagi membawa muatan minyak kenderaan, dan kesemua tangki sudah dikosongkan atas faktor keselamatan untuk proses penyelenggaraan.
“Kita tidak menolak kemungkinan letupan berlaku akibat percikan api dari kerja-kerja kimpalan. Berkemungkinan masih ada sisa gas dalam tangki kapal yang menyambar percikan api itu," katanya.Beliau turut mengesahkan hanya satu letupan berlaku dalam kejadian itu, namun langkah berjaga-jaga sudah dilakukan oleh pengurusan kapal dan limbungan.“Kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Sibu untuk menjalani rawatan lanjut. Kita juga sudah melakukan pemeriksaan dan membuat proses pengudaraan bagi memastikan asap keluar dan api padam sepenuhnya," katanya.