Kemalangan Melibatkan Jentera Cerucuk Hidraulik


Gambar 1: Mesin cerucuk hidraulik di kawasan kemalangan
Satu kemalangan telah berlaku pada 20 Mei 2008 pada lebih kurang jam 8:00 malam ketika kerja-kerja penanaman cerucuk sedang dijalankan. Ia berlaku di sebuah tapak projek pembinaan bangunan yang bersebelahan dengan kawasan parkir awam. Penyiasatan mendapati terdapat sebuah jentera cerucuk hidraulik (model YZY 240) yang dilengkapi dengan kren dan alat penekan cerucuk hidraulik telah digunakan untuk kerja-kerja penanaman cerucuk konkrit. Jentera ini diletakkan lebih kurang 2 meter dari pengadang tapak bersebelahan dengan parkir kenderaan. Pada hari kejadian, sebuah cerucuk konkrit seberat 2.8 tan dan berukuran 12 meter panjang, 300mm lebar dan 300mm tebal, telah terjatuh dan menghempap dua buah kenderaan. Hasil penyiasatan di lokasi kejadian mendapati kemalangan itu berlaku disebabkan oleh kegagalan pada bahagian rod keluli cuping mengangkat dan anduh yang digunakan untuk membelit cerucuk.
Cadangan:
1.
Pengenalpastian hazad, penaksiran risiko dan langkah-langkah kawalan hendaklah dilaksanakan sebelum menjalankan aktiviti kerja penanaman cerucuk.
2.
Pencahayaan amat penting untuk kerja-kerja yang dijalankan pada waktu malam. Sekiranya tiada keperluan mendesak, kerja penanaman cerucuk sepatutnya hanya dijalankan pada waktu siang hari.
3.
Cara mengangkat yang selamat hendaklah sentiasa dipraktikkan. Penggunaan spreader device amat perlu bagi menentukan kestabilan cerucuk konkrit ketika proses mengangkat untuk dimasukkan ke dalam mesin penekan hidraulik.Ini memudahkan cerucuk dimasukkan ke dalam alat penekan hidraulik dan cerucuk juga tidak tersangkut pada bum kren memandangkan jarak kelegaan di antara cerucuk dan bahagian bum kren adalah terlalu rapat.
4.
Rod keluli pada cerucuk konkrit, sling dan perkakasan mengangkat hendaklah sentiasa diperiksa setiap kali sebelum kerja-kerja mengangkat dimulakan. Peralatan mengangkat yang telah rosak adalah dilarang dari digunakan di dalam aktiviti mengangkat. Di samping itu, sambungan menggunakan anduh ataupun belenggu dengan cuping mengangkat perlu betul dan dipastikan selamat untuk kerja mengangkat cerucuk konkrit tersebut.
5.
Komunikasi di antara operator kren dan signalman amat penting untuk kerja-kerja penanaman cerucuk:
a) Signalman yang dilantik hendaklah seorang yang terlatih bagi membolehkannya berkomunikasi dua hala dengan baik dan memberikan maklumat yang tepat kepada pemandu kren.
b) Pemandu kren perlu memastikan bahawa kren dan peralatannya serta cerucuk yang diangkat sentiasa berada di dalam keadaan yang selamat.
Rujukan:
»
http://www.worksafebc.com/news_room/news_releases/assets/nr_07_01_12/crane_accidents_mobile.pdf
»
http://www.hazardinfo.com/CraneResearchStudy-PrintFormat.pdf
»
http://shippai.jst.go.jp/en/Detail?fn=2&id=CD1000142
»
http://www.osh.dol.govt.nz/order/catalogue/pdfs/piling-rig.pdf

Cetak