Nepal bercadang adakan perjanjian buruh dengan Malaysia

Utusan Online, 27 Mac 2014

KATHMANDU 27 Mac - Nepal sedang menyusun langkah terperinci untuk mencadangkan agar satu perjanjian buruh baharu diadakan dengan Malaysia bagi melindungi hak, kepentingan dan keselamatan pekerjanya di Malaysia.

Ini termasuk menyediakan deraf perjanjian berkenaan untuk dicadangkan kepada Malaysia.

Negara ini juga sedang mengatur langkah untuk mengadakan perjanjian serupa dengan Kuwait. Walaupun Malaysia dan Kuwait menjadi destinasi utama pekerja dari negara ini, namun Nepal tidak mempunyai perjanjian buruh secara rasmi dengan dua negara itu.

Berikutan pelbagai masalah yang dihadapi pekerja migran Nepal, termasuk menjadi mangsa pelbagai bentuk eksploitasi dan penderaan kerana tidak terdapat perjanjian buruh antara Nepal dengan negara berkenaan, maka perjanjian yang mengandungi peruntukan jelas tentang gaji minimum, keselamatan dan hak pekerja amat perlu diadakan, kata jurucakap Kementerian Buruh dan Pekerjaan Nepal.

Para pegawai Nepal sedang berbincang mengenai peruntukan yang akan dimasukkan ke dalam deraf perjanjian untuk dikemukakan kepada negara yang menjadi destinasi rakyat negara ini mencari pekerjaan.

"Kami merancang untuk memasukkan beberapa isu baharu ke dalam deraf perjanjian ini, yang kemudian akan dikemukakan kepada negara berkenaan melalui saluran sewajarnya bagi mendapatkan maklum balas dan cadangan mereka sebelum memuktamadkannya," kata Buddhi Bahadur Khadka dari Kementerian Buruh dan Pekerjaan Nepal.

Proses menandatangani perjanjian berkenaan akan dimulakan hanya selepas negara penerima buruh memberi persetujuan muktamad mereka terhadap deraf yang dicadangkan. - BERNAMA

 

Cetak