Breadcumb Caption
Breadcumb Caption

ALAM SEKITAR DAN PEKERJAAN

Utusan Online, 19 April 2016

BERAPA ramaikah di antara kita sedar akan pengaruh persekitaran terhadap diri kita sebagai pekerja. Sebagai contoh, reka bentuk kerusi yang tidak ergonomik, pencahayaan yang tidak mencukupi di pejabat, serta bebanan kerja yang melebihi had boleh mendatangkan kesan kepada kesihatan pekerja.

Sekiranya kesihatan pekerja terganggu maka produktiviti kerja akan menurun dan ini akan memberi kesan kepada sesebuah organisasi. Saban tahun kita lihat kemalangan di tempat kerja meningkat. Sebagai contoh, jumlah kemalangan di tempat kerja pada Januari 2016 adalah 145 kes hilang upaya sementara, lapan kes hilang upaya kekal serta satu kematian telah direkodkan di dalam sektor pembuatan di seluruh negara.

Begitu juga dengan peningkatan pencemaran alam sekitar yang telah menjejaskan kesihatan manusia. Sebagai contoh kenaikan suhu melampau menyebabkan sekolah terpaksa ditutup. Suhu yang naik secara mendadak turut penyumbang kepada kebakaran hutan seterusnya menyebabkan bencana jerebu.

Peningkatan hujan tidak menentu juga menyebabkan banjir berlaku dengan pantas. Ini semua berkaitan dengan isu perubahan iklim yang berlaku akibat daripada peningkatan gas rumah hijau yang melampau. Peningkatan gas rumah hijau adalah berkait rapat dengan proses industri serta pembangunan yang berlaku ketika ini.

Atas kapasiti isu ini, maka lahirlah sebuah persidangan antarabangsa yang melihat secara mendalam akan risiko serta kesan yang dihadapi oleh kita sebagai pekerja dan manusia. Persidangan Antarabangsa Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan atau International Conference on Environmental and Occupational Health (ICEOH 2016) kali ke-2 yang diadakan di Putrajaya, baru-baru ini adalah kesinambungan daripada ICEOH 2014, iaitu persidangan antarabangsa yang seumpamanya dianjurkan oleh Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM) di peringkat antarabangsa.

Tema persidangan ini adalah ‘Kerjasama antara profesional dan pengamal dalam bidang kesihatan persekitaran dan pekerjaan; Gerbang untuk masa pepan yang mampan’ atau dalam bahasa Inggerisnya, Professional and practitioners collaboration: A gateway to sustainable future.

ICEOH 2016 diadakan sebagai platform perbincangan, perkongsian ilmu dan pertukaran idea serta hasil penyelidikan dalam isu yang berkaitan dengan kesihatan persekitaran dan pekerjaan atau KPP.

Selain itu, ia juga menjadi suatu medan untuk membahaskan dan seterusnya mencapai penyelesaian serta mengetengahkan mekanisme yang paling praktikal dan realistik dalam usaha memperkasakan bidang kesihatan persekitaran dan pekerjaan dalam perancangan serta pelaksanaan agenda negara.

Persidangan berkenaan turut bertujuan membentuk jaringan bersama pihak-pihak utama yang terlibat dalam bidang kesihatan persekitaran dan pekerjaan dari pelbagai agensi kerajaan seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan (JKKP), pengamal dan penyelidik di institusi pengajian tinggi di negara ini serta universiti antarabangsa.

Ucaptama disampaikan oleh Pengarah Jabatan Alam Sekitar Datuk Dr. Ahmad Kamarulnajuib Che Ibrahim yang memberi penekanan kepada pentingnya penilaian dan pemuliharaan alam sekitar yang mampan agar kesihatan manusia terpelihara. Selain itu, seramai 11 orang pakar dalam bidang KPP dari dalam dan luar negara dijemput sebagai penceramah plenari.

Antaranya ialah Prof. Dr. Jamal Hisham Hashim dari United Nation University (UNU) yang membincangkan berkenaan dengan isu perubahan iklim, Prof. Dr. Mohd. Latif Talib dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang membincangkan mengenai pencemaran udara, Prof. Dan Norbäck dari Sweden membincangkan isu kualiti udara dalaman dan kesan kepada pekerja serta Profesor Emeritus Jeffery Spickett dari Universiti Curtin yang turut membincangkan mengenai penilaian impak kesihatan.

ICEOH 2016 kali ini menampilkan elemen baharu di mana topik perbincangan yang menarik dibentangkan oleh penceramah plenari. Sebagai contoh, Ustaz Dr. Mohd. Sukki Othman dari UPM dijemput bagi membincangkan kesihatan persekitaran dari perspektif islam.

Rentetan dari isu-isu bencana alam yang melanda negara, ICEOH 2016 turut menjemput pakar pelan pengurusan kecemasan bencana iaitu Prof. Dr. Fakhrul-Razi Ahmadun dari UPM untuk membincangkan topik ini.

Isu pencemaran alam sekitar seperti arsenik turut disampaikan oleh Prof. Dr. How Ran Guo dari Universiti Chen Kung, Taiwan. Antara plenari yang turut dijemput ialah Prof. Dr. David Koh dari Brunei dan Thayalan Ramadas dari Kementerian Kesihatan Malaysia.

Antara sub-tema topik yang dibincangkan dalam persidangan ini merangkumi isu-isu berkaitan dengan kesihatan persekitaran dan pekerjaan seperti kesihatan dan ke­selamatan pekerjaan, kesihatan mental, pengurusan bencana, ergonomik, perubahan cuaca, kesihatan kanak-kanak dan lain-lain.

Peserta yang hadir ke persidangan ini adalah terdiri daripada pegawai keselamatan dan kesihatan pekerjaan atau SHO, konsultan kesihatan persekitaran, penyelidik, pegawai-pegawai kerajaan dan pengamal-pengamal perubatan. Antara peserta luar negara yang turut hadir adalah dari United Kingdom Australia, Sweeden, Iraq, Jordon, India, Pakistan, Thailand, Singapura dan Indonesia.

Apa yang uniknya persidangan ini menggabungkan kedua-dua tema kesihatan persekitaran dan kesihatan pekerjaan seiring bagi membolehkan isu-isu berkaitan dapat dibahaskan dengan lebih mendalam.

Kertas pembentangan lisan dan poster dalam persidangan ini akan diterbitkan di dalam beberapa jurnal antaranya seperti Annals of Tropical Medicine and Public Health (Scopus Indexed), Asian Journal of Microbiology, Biotechnology dan Environmental Sciences (Scopus), International Journal of Sustainable Development and Planning (Scopus Indexed), Asia Pacific Environmental and Occupational Health (Google Scholar) dan banyak lagi.

Kita berharap agar peserta dapat mengambil ilmu dari ICEOH 2016, mempraktikkannya seterusnya menyebarkan ilmu tersebut kepada rakan sekerja mahupun ahli keluarga agar mereka mendapat pengetahuan berkenaan dengan bidang kesihatan persekitaran dan pekerjaan ini.

PENULIS ialah Pengerusi Bersama Jawatankuasa Penganjur ICEOH 2016.

 

Print Email