Breadcumb Caption
Breadcumb Caption

Kepala bersepai

Harian Metro, 30 Disember 2011

Oleh Mohd Husni Mohd Noor dan Mohamad Hairi Azmi Tham

 

KUALA KANGSAR – “Saya tergamam melihat kepala arwah pecah dan otak terkeluar,” kata rakan sekerja Mohd Abdilah Mohd Khairuddin, 27, yang maut dihempap motor penarik lif mengangkat barang di sebuah kedai perabot di Jalan Raja Chulan di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 9.40 pagi itu, mangsa dari Kampung Banjir di sini, sedang memindahkan perabot di tingkat satu premis berkenaan menggunakan lif.

Rakan mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Mat, 30, berkata lif itu tiba-tiba tersangkut sebelum rantainya terputus menyebabkan moto penarik lif itu tercabut dan menghempap kepala mangsa.

Kejadian turut mengakibatkan tubuh mangsa tersangkut pada lif sebelum alat pengangkat berkenaan terjunam ke tingkat bawah premis bersama mangsa.

“Arwah mula bekerja di kedai perabot ini sejak 6 Disember lalu sebelum bercuti beberapa hari pada minggu lalu kerana kematian neneknya.

“Dia kembali bekerja semalam (kelmarin) mulai jam 9 pagi sebelum ditugaskan membawa perabot turun dari tingkat dua ke tingkat satu bangunan,” katanya.

Menurutnya, Abdillah tanpa banyak soal memindahkan barang menggunakan lif di belakang premis.

“Bagaimanapun, selang 15 minit kemudian, saya terdengar dentuman kuat dari bahagian stor. Saya bergegas ke situ dan mendapati mangsa terbaring dalam lif dengan kepalanya berlumuran darah.

“Ketika kejadian, hanya mangsa berada di stor itu,” katanya.

Mat berkata, lif itu masih dalam percubaan dan hanya digunakan untuk memindahkan kelengkapan perabot dari tingkat dua ke bawah premis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Superintendan Abdul Ghaffar Muhammad ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan mangsa maut akibat dihempap motor atau alat penarik lif.

“Siasatan mendapati rantai lif terputus disebabkan tidak mampu menampung bebanan berlebihan. Kami mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.

“Jenazah mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kangsar sebelum dituntut ahli keluarga jam 3.30 petang tadi (semalam) untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Jasa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, Ismail Darus memberitahu pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 10 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian dengan sembilan anggota.

“Kami menerima panggilan memaklumkan, mangsa tersepit di lif tingkat satu premis. Namun, sejurus tiba, lif berkenaan terhempas ke bawah premis bersama mangsa,” katanya.

Print Email