Breadcumb Caption
  • Soalan Lazim
Breadcumb Caption
  • Soalan Lazim

Inventori

Keperluan untuk menyediakan dan mengemukakan inventori terpakai kepada pengimport dan/atau pengilang. Setiap bahan kimia berbahaya yang diimport atau dikilangkan dalam kuantiti 1 metrik tan (1000 kg) dan lebih setahun (1 Januari hingga 31 Disember) perlu dinyatakan dalam inventori yang perlu dikemukakan setiap tahun.

Inventori perlu dikemukakan setiap tahun selewat-lewatnya pada 31 Mac. Tempoh pengemukaan adalah dari 1 Januari hingga 31 Mac setiap tahun. Pengimport/pengilang disarankan mengemukakan inventori secepat mungkin untuk mengelakkan kesesakan sistem.

Pengimport/pengilang dinasihatkan mengemukakan inventori dengan menggunakan sistem yang boleh dicapai dengan menggunakan pautan berikut: https://cims.dosh.gov.my/. Untuk menggunakan sistem ini, setiap pengimport/pengilang bagi setiap premis perlu mendaftar dengan sistem tersebut. Sila ambil maklum bahawa CIMS bukanlah perisian pengelasan, sistem ini hanyalah sistem pengemukaan.

Menurut Peraturan 14 (3), Peraturan CLASS, inventori hendaklah merangkumi maklumat yang berikut:

  1. Pengecam produk;
  2. Nama bahan kimia berbahaya;
  3. Komposisi dan ramuan bahan kimia berbahaya;
  4. Pengelasan bahaya; dan
  5. Jumlah kuantiti bagi setiap bahan kimia berbahaya yang diimport atau dibekalkan.

Mana-mana pembekal yang didapati tidak mengemukakan atau sengaja tidak mengemukakan inventori pada masa yang ditetapkan mungkin tertakluk kepada penalti seperti yang dinyatakan dalam Peraturan. Pengemukaan lewat tidak akan dilayan.

Pembekal tempatan yang mendapat bahan kimia import daripada pembekal tempatan tidak dianggap sebagai pengimport dan dengan ini tidak dikehendaki mengemukakan inventori. Takrif pengimport dalam Peraturan CLASS hanya terpakai kepada pengimport yang mendapat bekalan bahan kimia terus dari luar negara.