Breadcumb Caption
Breadcumb Caption

Lindungi anggota badan daripada cedera

myMetro Online, 4 April 2014

Jari tangan dan kaki adalah bahagian paling kompleks pada tubuh manusia. Tanpanya seseorang akan berdepan masalah untuk menyempurnakan rutin serta tugas seharian.

Apa yang pasti, anggota tubuh itu perlu dilindungi sebaiknya kerana ia tidak datang dengan sebarang alat ganti.

Jangan hanya disebabkan kecuaian kecil, pemiliknya hilang upaya menyara keluarga.

Menyedari hakikat itu, syarikat kontraktor untuk kerja pembinaan terowong bawah tanah, MMC-Gamuda KVMRT (T) Sdn Bhd (MGKT) melancarkan Kempen Kesedaran Jari Kaki dan Tangan.

Lindungi anggota badan daripada cedera 1162 1

SATPAL memakaikan gelang keselamatan kepada Penyelia Kanan Tapak, Chandra Segaran sambil diperhatikan kakitangan lain.

Lindungi anggota badan daripada cedera 1162 2

PEKERJA am meletakkan poster kempen keselamatan di tapak KVMRT bawah tanah Cochrane selepas pelancaran.

Lindungi anggota badan daripada cedera 1162 3

SATPAL menyampaikan ucapan ketika pelancaran kempen keselamatan di tapak stesen KVMRT bawah tanah KL Sentral.

Kempen unik itu mahu mewujudkan kesedaran pentingnya mematuhi prosedur keselamatan di tapak pembinaan.

Dalam masa sama, langkah itu juga diambil sebagai inisiatif syarikat dalam mengurangkan kekerapan kemalangan dan kecederaan tangan dan kaki dalam industri pembinaan.

Pengarah Projeknya, Satpal S Bhogal berkata, senario terkini menunjukkan banyak kes kecederaan dilaporkan di tapak pembinaan berkait dengan jari tangan dan kaki.

Begitupun, majoriti kes berlaku kerana kurangnya kesedaran terhadap keselamatan diri di tempat kerja.

“Keselamatan dan kebajikan pekerja adalah keutamaan kami. Justeru, MGKT akan memastikan pekerja dilengkapi peralatan keselamatan ketika melakukan kerja mereka.

“Paling penting, kita hendak semua tahu isu keselamatan dan kebajikan pekerja tiada kompromi sebaliknya harus dipandang serius setiap masa,” kata­nya.

Pelancaran itu diadakan serentak di tujuh tapak MRT sekitar Lembah Klang iaitu KL Sentral, Pasar Seni, Warisan Merdeka, Bukit Bintang, Cochrane, Pasar Rakyat dan Maluri.

Poster dan kain rentang diedarkan di semua tapak sementara pekerja turut dibekalkan pakaian khas dengan slogan keselamatan dicetak di atasnya.

“Ini adalah permulaan bagi siri kempen keselamatan berfokus MGKT. Kita akan melancarkan kempen kesedaran me­ngenai objek jatuh di tapak pada masa akan datang,” katanya.

 

 

 

 

Print Email