doshheaderbm

Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2013
  • Sokongan orang ramai perlu ubah tingkah laku pengguna jalan raya
Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2013
  • Sokongan orang ramai perlu ubah tingkah laku pengguna jalan raya

Sokongan orang ramai perlu ubah tingkah laku pengguna jalan raya

The Borneo Post Online, 17 November 2013

 

MIRI: Sokongan orang ramai diperlukan untuk mengubah tingkah laku pengguna jalan raya agar lebih berhemah sekali gus mengurangkan nahas jalan raya dan menyelamatkan nyawa.

Residen Bahagian Miri Antonio Kahti Galis berkata, kempen dan peringatan tentang kepentingan mematuhi peraturan jalan raya tidak akan berkesan tanpa sokongan semua pihak.

“Saya percaya semua mampu memainkan peranan untuk memperbaiki situasi keselamatan jalan raya di sini dan membantu membendung kecederaan dan menyelamatkan nyawa.

“Saya menyeru orang ramai sedar tentang kepentingan lebih bertanggungjawab demi menjaga keselamatan semua,” katanya pada Pameran Keselamatan Jalan Raya di sini, petang semalam.

Pameran itu dianjurkan oleh Sarawak Shell Berhad dengan kerjasama Jabatan Keselamatan Jalan Raya, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, DOSH, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Universiti Curtin Sarawak dan Toys World.

Pameran dua hari yang berakhir hari ini dari jam 10 pagi hingga 9 malam dianggap bertepatan untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman pengguna jalan raya dalam menitiberatkan keselamatan khasnya ketika balik kampung musim perayaan ini.

Ia juga dianjurkan sempena meraikan sambutan ulang tahun ke-30 Pertandingan Pendidikan Lalu Lintas Shell.

Terdahulu, Pengurus Besar Sarawak Shell Berhad Chok Chee Tsong memberitahu, lebih 3,000 pelajar menjadi duta keselamatan jalan raya menerusi Pertandingan Pendidikan Lalu Lintas Shell.

Shell juga bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan menganjurkan pertandingan esei keselamatan jalan raya yang disertai oleh lebih 15,000 pelajar, jelasnya.

Selain itu, Shell menganjurkan kempen keselamatan jalan raya melibatkan 8,000 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di lapan buah kem PLKN di seluruh Sarawak.

“Kita juga menganjurkan pameran kesedaran dan demonstrasi keselamatan jalan raya di pusat beli-belah di Bintulu dan Kuching yang menarik kunjungan lebih 50,000 orang,” jelas Chok.

Hadir sama Pengurus Kanan Hal Ehwal Korporat (Upstream) Shell Malaysia, Peing Tajang dan Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mun Kok Keong.

 

Cetak Emel