doshheaderbm

Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2013
  • Juruteknik maut kilang terbakar
Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2013
  • Juruteknik maut kilang terbakar

Juruteknik maut kilang terbakar

Utusan Online, 26 Mac 2013

Oleh NORAZLINA ISMAIL

Juruteknik maut kilang terbakar
KEADAAN bangunan sebuah kilang kimia yang terbakar sehingga mengakibatkan seorang pekerjanya maut dan empat lagi cedera di Lorong Perusahaan 1, Kawasan Perindustrian Perai, Pulau Pinang, semalam.

BUKIT MERTAJAM 25 Mac - Seorang juruteknik terbunuh manakala empat lagi cedera dalam kebakaran sebuah kilang kimia yang turut mengakibatkan berlakunya letupan di Lorong Perusahaan 1, Kawasan Perindustrian Perai di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 11.45 pagi itu, Roslan Othman, 40, yang dipercayai berada di dalam bilik kawalan di tingkat tiga bangunan tersebut maut setelah 60 peratus tubuhnya terbakar akibat letupan.

Empat yang cedera ialah Baharin Arsad, 49; Jamaluddin Ismail, 39; K. Ramish, 41; dan seorang pekerja kontrak warga Bangladesh yang hanya dikenali sebagai Mostak. Kesemua mereka dirawat di Hospital Seberang Jaya di sini.

Penolong Pengarah Bahagian Penyiasatan Kebakaran Bomba dan Penyelamat negeri, Mohamadul Ehsan Mohd. Zin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 11.45 pagi dan tiba di tempat kejadian beberapa minit selepas itu.

Katanya, sebanyak tujuh buah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Perai, Butterworth, Bandar Perda dan Jalan Perak bersama 44 anggota dan lima pegawai dikejarkan untuk memadam kebakaran dan operasi menyelamat.

"Semasa tiba, api marak di tingkat tiga dan kita terpaksa menggunakan semburan buih bagi mengawal api kerana di kilang tersebut terdapat beberapa jenis bahan kimia yang mudah meletup dan terbakar.

"Bomba mengawal api daripada merebak ke beberapa kilang berhampiran. Api berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 12.31 tengah hari," katanya ketika di temui di sini hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, kebakaran itu menyebabkan 80 peratus daripada bangunan berkenaan musnah manakala punca kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan.

Cetak Emel