Penyelia maut
Berita Harian Online, 26 Mac 2013
Oleh Siti Azila Alias
Butterworth: Seorang penyelia kilang maut dipercayai akibat sesak nafas manakala empat rakannya cedera dalam kebakaran membabitkan sebuah kilang memproses bahan kimia di Kawasan Perindustrian Prai, di sini, pagi semalam.
Sesak nafas
Mangsa yang maut dikenali sebagai Roslan Othman, 40, manakala yang cedera ialah Baharin Arsad, 49, dan Jamaluludin Ismail, 39, kedua-duanya juga penyelia, K Ramis, 41, (pegawai II) dan seorang pekerja kontrak warga Bangladesh dikenali sebagai Mostak.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 11.40 pagi itu, mangsa bersama tujuh rakannya sedang bekerja di bahagian pengeluaran di tingkat tiga bangunan empat tingkat itu sebelum berlaku satu letupan kuat dipercayai berpunca dari stor menyimpan bahan kimia bercampur logam.
Akibatnya, mangsa yang berada di dalam bilik kawalan gagal menyelamatkan diri dan mengalami sesak nafas sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.
Penolong Pengarah Bahagian Penyiasatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohamadul Ehsan Mohd Zain, berkata tujuh jentera, masing-masing dua dari Balai Prai, Perda dan Jalan Perak serta satu dari Butterworth bersama pasukan Hazmat dengan kekuatan 48 anggota bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada jam 11.45 pagi.
Beliau berkata, setiba di tempat kejadian, api sedang marak memusnahkan bahagian pengeluaran kilang di tingkat tiga sebelum merebak ke tingkat empat. Bagaimanapun, katanya, pihaknya berjaya mengawal api daripada merebak ke tingkat bawah dalam masa 45 minit.
Bermula di stor
Berdasarkan maklumat awal, kejadian dipercayai berpunca daripada letupan di stor menyimpan bahan kimia bercampur logam di tingkat tiga, dan mengakibatkan kemusnahan kira-kira 80 peratus struktur bangunan berkenaan.
Mayat mangsa ditemui di bilik kawalan dengan 50 peratus badannya terbakar dan diserahkan kepada polis sebelum dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut, katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.