doshheaderbm

Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2013
  • Keselamatan jadi agenda utama
Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2013
  • Keselamatan jadi agenda utama

Keselamatan jadi agenda utama

Utusan Online, 6 Julai 2013

news 06072013 1Johari Basri (dua dari kiri) meletakkan tangan di atas plak sebagai simbolik perasmian
Kempen Kesedaran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Sekolah Peringkat Kelantan, kelmarin. Turut kelihatan, Lok Yim Pheng (dua dari kanan) dan Ramli Harun (kiri).

KOTA BHARU 5 Julai - Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan yang bernaung di bawah Kementerian Sumber Manusia mengadakan Kempen Kesedaran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Sekolah Peringkat Kelantan membabitkan semua sekolah dan kolej vokasional seluruh negeri hari ini.

Program yang mendapat kerjasama Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Kelantan dan Jabatan Pendidikan negeri itu bertujuan menerapkan amalan keselamatan diri pada guru sebagai pekerja dan pelajar yang akan berkecimpung dalam dunia pekerjaan pada masa akan datang.

Program tersebut dirasmikan Ketua Pengarah JKKP, Datuk Ir. Dr. Johari Basri di Kolej Vokasional Pengkalan Chepa di sini.

Yang turut hadir, Setiausaha Agung Persatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng dan Pengarah Kolej tersebut, Ramli Harun.

Program itu disertai sebanyak 400 peserta terdiri daripada guru, kakitangan sekolah dan pelajar beberapa buah kolej vokasional.

Johari berkata, kempen itu adalah kesinambungan daripada Program Sekolah Selamat yang dimulakan pada 1991 oleh Kementerian Pelajaran (kini Kementerian Pendidikan).

Menurut Johari, Kolej Vokasional Pengkalan Chepa dipilih sebagai sekolah perintis di Kelantan yang akan mengamalkan sepenuhnya ciri keselamatan di tempat kerja kepada semua guru dan pelajarnya sepanjang sesi persekolahan.

Beliau berkata, melalui kempen tersebut semua ciri keselamatan yang perlu akan diterapkan dalam aktiviti sekolah termasuk pengajaran dan pembelajaran agar menjadi amalan biasa sepanjang masa selepas ini.

"Semua pihak harus memainkan peranan dalam memastikan keselamatan dan kesihatan di sekolah dijadikan amalan. Ini kerana sekolah merupakan tempat kerja yang melibatkan majikan dan pekerja iaitu guru, pentadbir dan kakitangan sokongan manakala pelajar dan pelawat diklasifikasikan sebagai selain orang yang bekerja.

"Program kesedaran di sekolah ini dapat menerapkan kesedaran terhadap keselamatan dan kesihatan dengan mengamalkan budaya kerja selamat dan sihat semasa di sekolah dengan cara mengintergrasikannya dengan aktiviti-aktiviti yang dijalankan," katanya.

 

Cetak Emel