doshheaderbm

Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2013
  • Kilang ubah waktu rehat
Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2013
  • Kilang ubah waktu rehat

Kilang ubah waktu rehat

Utusan Online, 13 Julai 2013

news 13072013
WAN Noorulazhar Mohd. Hanafiah menunjukkan pekeliling jadual kerja baharu bagi bulan Ramadan yang dikeluarkan
oleh sebuah kilang semikonduktor di Banting sewaktu hadir di pejabat Utusan Malaysia di Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA 12 Julai - Sebuah syarikat semikonduktor berstatus multinasional yang beroperasi di Telok Panglima Garang di Banting, Selangor didakwa menindas pekerja beragama Islam dengan mengubah jadual waktu rehat sepanjang Ramadan tanpa perbincangan.

Presiden Kesatuan Sekerja Industri Elektronik Wilayah Barat Semenanjung, Wan Noorulazhar Mohd. Hanafiah mendakwa, syarikat itu bertindak meminda jadual pekerja syif malam dengan mempercepat waktu rehat pertama dan melewatkan waktu rehat kedua.

Berikutan itu, dakwanya, pekerja syarikat semikonduktor nombor satu di Asia dan ketiga dunia itu terpaksa bekerja dalam tempoh lapan jam tanpa henti sebelum menunggu waktu rehat kedua.

Tambah beliau, arahan itu dikeluarkan menerusi surat pekeliling bertarikh 2 Julai lalu yang meminta pekerja syif pukul 7 petang mengambil rehat pertama pukul 7.15 petang berbanding 10 malam sebelum ini dan rehat kedua pukul 4 pagi bersekali sahur.

"Tetapi masalahnya mereka terpaksa bekerja selama 12 jam dan menerusi jadual baharu itu juga semua pekerja terpaksa bekerja selama lapan jam tanpa henti," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Wan Noorulazhar, tindakan itu jelas melanggar Akta Kerja 1955 di bawah Seksyen 60A (1) yang tidak membenarkan pekerja bekerja lebih lima jam berturut-turut tanpa rehat kurang daripada 30 minit.

Katanya, penindasan itu turut bertentangan dengan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (OSHA 1994) yang mensyaratkan majikan perlu memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan semua pekerjanya semasa bekerja.

Tambah beliau, jika pekerja tidak mendapat rehat yang cukup dan dipaksa bekerja di bawah tekanan tinggi pelbagai kemungkinan buruk boleh berlaku di tempat kerja.

Dalam pada itu, beliau turut kecewa dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) yang didakwa gagal menangani masalah tersebut meskipun aduan rasmi dan bukti telah diserahkan.

"Kami ada berhubung dengan JTK tetapi mereka minta pekerja berbincang dengan majikan, masalahnya pekerja terbabit tidak mempunyai kesatuan dan majikan boleh berbuat sesuka hati termasuk memecat mereka kerana tidak berpuas hati," katanya.

Dalam masa sama, beliau merayu Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat campur tangan dalam isu itu kerana majoriti pekerja di syarikat terbabit ialah wanita dan mereka perlu berdiri sepanjang tempoh 12 jam bekerja.

Cetak Emel