doshheaderbm

Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2013
  • DBKL peruntuk RM31.5 juta baiki 90 lif berusia lebih 15 tahun
Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2013
  • DBKL peruntuk RM31.5 juta baiki 90 lif berusia lebih 15 tahun

DBKL peruntuk RM31.5 juta baiki 90 lif berusia lebih 15 tahun

Utusan Online, 20 Ogos 2013

 

KUALA LUMPUR 19 Ogos - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan melakukan kerja-kerja penggantian melibatkan 90 buah lif di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) kendaliannya.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, kerja-kerja yang akan bermula pada 2014 hingga 2019 itu akan dibuat selepas usia penggunaan sesebuah lif menjangkau 10 hingga lebih 15 tahun.

"Sebanyak RM31.5 juta diperuntukan untuk mengganti lif-lif tersebut sebagai perancangan dalam tempoh lima tahun akan datang," katanya dalam satu kenyataan akhbar kepada Utusan Malaysia di sini.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas terhadap laporan akhbar ini mengenai masalah yang membelenggu perkhidmatan lif di PPR dan PA.

Pada 17 Julai lalu, seorang murid tahun lima mati akibat tersepit dalam lif yang rosak sewaktu pulang dari sekolah di PPR Desa Tun Razak, Cheras.

Tambah Ahmad Phesal, sebanyak 262 buah lif telah dibuat kerja-kerja penggantian setakat ini dan lif di PPR Desa Tun Razak telah dilakukan kerja-kerja tersebut pada 2010.

"Kini, terdapat lapan syarikat penyelenggaraan bertanggungjawab sepenuhnya melakukan kerja-kerja baik pulih, servis, penggantian peralatan termasuk pemantauan operasi lif harian di kesemua 523 lif.

"Skop kerja menservis termasuklah memeriksa, meminyak, mencuci, membaiki atau membetul semula, menyesuai semua atau mana-mana mekanisme lif yang dilakukan secara berkala pada setiap bulan dengan kos antara RM1,000 ke RM1,500," katanya.

Menurutnya, pemeriksaan berkala setiap tiga bulan bersama-sama jurutera teknikal dan kontraktor bertauliah turut dilakukan.

"Malah, selaras dengan Akta Kilang dan Jentera 1967, pemeriksaan tahunan bersama Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP), DBKL dan orang yang bertauliah (dari syarikat lif) juga dipatuhi," katanya yang memberitahu pemeriksaan terakhir JKKP di PPR Desa Tun Razak dibuat pada 4 Julai.

Dalam perkembangan berkaitan, pihaknya mengenal pasti sebanyak 21 peratus aduan melibatkan kerosakan lif yang diterima sehingga Jun lalu adalah membabitkan perbuatan vandalisme.

"Oleh itu, kita bercadang untuk mempertingkat penguatkuasaan seperti mengeluarkan notis kompaun kepada pesalah laku penggunaan lif bagi mengelak lif menjadi mangsa vandalisme.

"Selaras dengan perjanjian penyewaan, DBKL akan mengambil tindakan penamatan perjanjian penyewaan, disamping menuntut kos ganti rugi daripada ketua penyewa seperti yang diambil terhadap penghuni PA Desa Rejang pada 23 Februari tahun lalu," tegasnya.

Selain itu, ujar Ahmad Phesal, DBKL sedang mengkaji untuk menempatkan sebanyak 250 penguat kuasa atau melantik pengawal secara kontrak di seluruh kawasan perumahan di bawah pentadbiran agensi itu.

"Kami juga akan meneliti sekiranya perlu untuk melantik lembaga pelawat seperti dilaksanakan di hospital selain penglibatan bersama persatuan penduduk dalam usaha memantau dan menjadi mata dan telinga kepada DBKL," katanya.

 

Cetak Emel