doshheaderbm

Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2013
  • JKKP Sarawak bangun projek OSH-MP 15 di rumah panjang
Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2013
  • JKKP Sarawak bangun projek OSH-MP 15 di rumah panjang

JKKP Sarawak bangun projek OSH-MP 15 di rumah panjang

The Borneo Post Online, 09 October 2013

SRI AMAN: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Sarawak membangunkan Projek ‘Occupational Safety and Health Master Plan’ (OSH-MP) 15 bagi sesi 2010 hingga 2015.

Pengarahnya Mohd Hatta Zakaria berkata pelan induk berkenaan bertujuan meningkatkan pengetahuan, tahap kesedaran dan komitmen dalam keselamatan dan kesihatan pekerjaan oleh semua pihak bagi mengurangkan kadar kemalangan, kecederaan, kematian dan penyakit di tempat kerja.

“Ia menggariskan pembabitan dan tanggungjawab semua pihak termasuk pemegang taruh (stakeholders) dan rakan-rakan sosial termasuk agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, kesatuan sekerja, kesatuan majikan serta institusi pendidikan,” katanya pada Program Kursus ‘Work Improvement In Neighbourhood Development’ (WIND) anjuran JKPP Sarawak di Rumah Brodi Nyandang, Sungai Bruang, Tanjung Bijat di sini semalam.

Teks ucapannya dibacakan oleh wakilnya, Muhammad Rizamry Arbi.

Menurut Mohd Hatta, JKKP Sarawak merupakan agensi bertanggungjawab mentadbir dan menguatkuasakan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di negeri ini dan sentiasa memberi perkhidmatan terbaik bukan sahaja kepada pelanggan malah kepada warga jabatan serta masyarakat pekerja.

Katanya, program itu merupakan sebuah manual latihan yang berorientasikan tindakan dan digunakan sejak 1996.

“Manual latihan ini sebagai panduan memberi pendedahan kepada masyarakat luar bandar dalam melaksanakan penyelesaian mudah dan kos rendah bagi meningkatkan kerja mereka serta keadaan hidup yang melibatkan kedua-dua lelaki dan wanita terutama yang bekerja dalam bidang pertanian.

Program WIND di sektor pertanian bertujuan membantu petani kecil dan keluarga mereka mengambil tindakan meningkatkan keselamatan, kesihatan, produktiviti dan tahap pesekitaran kerja dan tempat tinggal mereka.

Selain itu, ia menyokong kemajuan dilaksanakan langkah demi langkah bagi mengekalkan penambahbaikan dan menunjukkan hubungan antara ‘low cost improvement’ dalam persekitaran kerja dan tempat tinggal selaras peningkatan produktiviti.

Jelasnya, pemilihan program WIND di Rumah Brodi tahun ini adalah bertepatan kerana mempunyai ciri ciri yang dikehendaki dalam melaksanakan program itu serta kerjasama dan sokongan padu kalangan penduduk rumah panjang itu.

Sementara itu, pegawai-pegawai pertanian di JKKP Sarawak menjalankan audit pertanian sejak 1993.

“Fokus ketika itu hingga hari ini adalah lebih kepada audit ladang-ladang berskala besar, sebagai contoh ladang kelapa sawit, pokok sagu di Mukah, ladang teh serta ladang sayuran komersial.

Hadir sama Pegawai Seksyen Promosi dan Sumber JKKP Ahmad Munauwar, Pegawai Jabatan Pertanian Bahagian Sri Aman Ahmad Arisa Kachon, Penghulu Tinggi serta Kaunselor Jubit.

Program lima hari bermula 7 hingga 11 Oktober ini disertai 22 penduduk dari Rumah Brodi, Sungai Bruang, Tanjung Bijat dan Rumah Jarit, Bakong Tengah, Sri Aman

Cetak Emel