doshheaderbm

Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2013
  • Kemalangan industri: Sektor pengilangan catat kes tertinggi
Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2013
  • Kemalangan industri: Sektor pengilangan catat kes tertinggi

Kemalangan industri: Sektor pengilangan catat kes tertinggi

Utusan Online, 10 Oktober 2013

news 10102013
ISMAIL ABD. MUTTALIB

 

KUALA LUMPUR 9 Okt. - Sektor pengilangan mencatat bilangan kematian tertinggi dalam statistik kemalangan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dengan sebanyak 30 kes direkodkan sehingga Mei lalu berbanding sektor-sektor lain.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Ismail Abd. Muttalib berkata, sektor itu juga berada pada kedudukan teratas bagi kemalangan tidak hilang upaya kekal dengan sebanyak 683 kes manakala 61 kes lagi melibatkan kemalangan hilang upaya kekal.

Menurutnya, ini diikuti sektor pertanian, perhutanan dan perikanan dengan 223 kes bagi setiap jenis kemalangan, sektor pembinaan (69), sektor kemudahan (42), sektor pengangkutan, penyimpanan dan komunikasi (39) dan sektor perdagangan borong serta runcit (32).

"Hasil analisis statistik tersebut, sektor pengilangan kekal berada di tangga teratas penyumbang kemalangan sepanjang tahun lalu dan tahun ini. Oleh itu, kementerian melalui JKKP akan memberi fokus dalam mengatasi kemalangan terutama dalam sektor tersebut selain pembinaan dan pertanian," katanya dalam sidang Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan asal Senator Chandra Mohan mengenai jumlah kemalangan perindustrian dan langkah-langkah yang diambil kementerian untuk mewujudkan budaya kerja mementingkan keselamatan.

Menurut Ismail, antara langkah yang diambil JKKP untuk mewujudkan budaya itu adalah menjalankan audit pematuhan terhadap perundangan keselamatan dan kesihatan ke atas semua sektor pekerjaan.

Beliau berkata, JKKP juga akan mengkaji dan menggubal penetapan standard berkaitan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja dari semasa ke semasa bagi tujuan memastikan standard tersebut terus relevan dengan risiko yang terdapat di tempat kerja.

"Selain itu, JKKP juga merangka pelan strategik jangka panjang bagi keselamatan dan kesihatan pekerja, menjalankan promosi dan latihan serta mengenakan tindakan undang-undang kepada majikan yang gagal mematuhi peruntukan perundangan JKKP," katanya.

 

Cetak Emel