doshheaderbm

Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2014
  • Jawatankuasa kurangkan risiko kemalangan sektor pembinaan
Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2014
  • Jawatankuasa kurangkan risiko kemalangan sektor pembinaan

Jawatankuasa kurangkan risiko kemalangan sektor pembinaan

Utusan Online, 22 Februari 2014

ALOR SETAR 21 Feb. - Kementerian Kerja Raya menubuhkan jawatankuasa khas untuk memastikan penambahbaikan dalam sektor pembinaan, sekali gus mengurangkan risiko kemalangan atau bencana dalam sesuatu projek.

Menterinya, Datuk Fadillah Yusof berkata, jawatankuasa khas yang diketuai Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), dianggotai pakar daripada pelbagai latar belakang industri dan agensi kerajaan.

"Jawatankuasa khas ini turut melibatkan jalinan kerjasama antara pelbagai pihak seperti Kementerian Sumber Manusia melalui Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), arkitek, jurutera serta pengamal atau wakil industri.

"Hujung bulan ini kita akan dapatkan maklum balas daripada jawatankuasa ini untuk melihat keseluruhan ekosistem pembinaan negara.

"Daripada itu, kita akan lihat apa perlu ditambah baik dan dicadangkan kepada Kabinet untuk diambil tindakan oleh setiap kementerian atau sektor sama ada di peringkat kerajaan negeri atau kerajaan Persekutuan," katanya ketika ditemui semasa mengadakan lawatan kerja di Jalan Alor Mengkudu di sini hari ini.

Beliau meninjau Projek Jalan Baharu Lencongan Timur dari Simpang Kuala ke Alor Mengkudu di sini.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya negeri, Datuk Tajul Urus Mat Zain.

Projek yang terbahagi kepada Fasa 1 dan Fasa 2 menelan kos RM133.3 juta dan dijangka siap pada Mei tahun ini manakala Fasa 2B (RM57 juta) dalam proses pengambilan tanah dan penyediaan reka bentuk.

Kesemua projek itu bakal memberi keselesaan kepada pengguna di kawasan tersebut yang pesat membangun.

Dalam pada itu, Fadillah berkata, pihaknya mahu kontraktor menjadi pengamal industri yang mematuhi standard dan sentiasa mengamalkan keselamatan.

"Ini bukan sahaja untuk pekerja tetapi memastikan projek dan bangunan selamat untuk didiami pengguna," katanya.

 

Cetak Emel