Pengendali LRT perlu teliti aspek keselamatan
Utusan Online, 2 Julai 2014
INSIDEN terbaru seorang pemandu dan penumpangnya cedera parah dan nyaris maut apabila dihempap besi seberat beberapa tan yang terjatuh dari tapak pembinaan projek transit aliran ringan (LRT) di Jalan Lapangan Terbang Subang berhampiran Wisma Glomac adalah terlalu serius.
Mujurlah mangsa tidak terbunuh tetapi walaubagaimanapun hakikatnya satu lagi kemalangan yang berlaku di tapak kerja projek sambungan LRT jelas sekali tidak boleh diterima terutamanya kegagalan pihak kontraktor untuk memastikan keselamatan di tapak pembinaan.
Kemalangan seumpama ini bukanlah kali pertama dan bukan terakhir kecuali kontraktor yang bertanggungjawab komited sepenuhnya terhadap keselamatan.
Dua kemalangan sebelum ini berlaku di tapak pembinaan LRT, satu pada Mac tahun lepas di mana cerucuk terhempap ke atas sebuah kereta menyebabkan satu kematian dan satu kecederaan.
Pada Ogos tahun lepas pula, satu lagi kejadian berlaku di mana bahan binaan terhempap ke atas sebuah kereta yang diletakkan berhampiran tapak pembinaan.
Persoalan yang ingin diungkitkan adalah apakah yang telah pengusaha LRT dan kontraktor lakukan untuk mengelakkan kemalangan di tapak kerja?
Setiap kali selepas kemalangan, pihak pengurusan LRT hanya akan mengeluarkan kenyataan akan keprihatinan dan keutamaan mereka terhadap keselamatan orang awam.
Jaminan semata-mata tidak akan bermakna sekiranya kemalangan terus berlaku dan keselamatan orang ramai yang melalui tapak kerja itu setiap hari dalam keadaan berbahaya dan kebimbangan.
Orang ramai semakin gelisah dan gementar setiap kali mereka melalui tapak pembinaan dengan tidak dapat mengenal pasti tahap keselamatan kerja yang dijalankan oleh kontraktor berkenaan.
Ini adalah masanya untuk pengendali LRT membuat rombakan semula dan mengendali akan semua aspek keselamatan tapak kerja mereka yang dijalankan dengan memuaskan oleh kontraktor mereka.
Mereka perlu diingatkan bahawa usaha untuk mempercepatkan kerja-kerja pembinaan tidak harus mengabaikan keselamatan pekerja dan orang ramai.
Bagaimana pula dengan kontraktor yang dilantik oleh pengendali LRT? Apakah kecekapan dan kewibawaan kontraktor ini terhadap keselamatan di tapak kerja?
Soalan-soalan ini perlu dijawab dan orang ramai tidak harus hanya diberikan jaminan kosong.
Apakah peranan pengawal keselamatan dan penyelia keselamatan di tapak kerja? Adakah mereka telah melakukan dengan secukupnya bagi memastikan keselamatan awam dan juga di tapak mereka sendiri?
Mereka yang didapati cuai mesti bertanggungjawab dan tindakan harus diambil terhadap mereka mengikut peruntukan dalam Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) 1994.
Kejadian terbaru ini harus dijadikan pengajaran kepada semua kontraktor lain yang bekerja di semua tapak pembinaan transit pesat bahawa keselamatan pekerjaan serta orang ramai tidak boleh diabaikan.Masanya telah tiba bagi industri untuk mengambil semua langkah perlu untuk mencegah kemalangan di tempat kerja.
Saya ingin menyeru semua industri di negara ini terutamanya industri pembinaan, supaya sentiasa sensitif terhadap keperluan keselamatan di tempat kerja dan berusaha untuk mencapai tahap kemalangan sifar.
Mereka yang terlibat di dalam industri pembinaan seharusnya menyedari kesan dan akibat mengabaikan garis panduan keselamatan dan mengambil jalan pintas, reka bentuk dan mutu kerja yang bermutu rendah dan kerja yang tidak diawasi atau diselia.
Sekiranya piawaian keselamatan dipatuhi dan prosedur serta peraturan keselamatan diikuti, saya percaya kecelakaan, kehilangan nyawa atau kecederaan dapat dielakkan.
Kemalangan yang berlaku baru-baru ini yang disebabkan oleh tahap pengurusan keselamatan di tapak pembinaan yang lemah adalah sangat serius dan perlu diberi perhatian segera. Mereka yang bertanggungjawab hendaklah belajar daripada pengalaman lepas dan bersedia mengelakkan kejadian tersebut berulang.
Kemalangan seperti keruntuhan perancah di tapak pembinaan atau benda yang jatuh menimpa orang awam sehingga menyebabkan kematian atau kecederaan adalah satu perkara yang perlu diberikan perhatian serius.
Laporan mengenai kren tumbang di tapak pembinaan yang menyebabkan kerosakan kepada rumah dan harta awam adalah juga perkara yang menjadi perhatian serius kepada orang ramai. Aktiviti pembinaan yang mengabaikan kesan kepada alam sekitar mendatangkan masalah seperti banjir dan tanah runtuh.
Oleh yang demikian, amat penting bagi semua terlibat di dalam industri pembinaan supaya sentiasa sensitif kepada masalah tersebut dan mengambil semua langkah-langkah yang perlu untuk mengelakkan kemalangan di tempat kerja.
Beberapa tragedi yang berlaku kebelakangan ini memerlukan pihak berkuasa memberi perhatian kepada tahap piawaian keselamatan di tempat kerja yang lebih tinggi. Undang-undang dan peraturan sahaja belum mencukupi untuk memastikan tempat kerja di tapak pembinaan selamat dan sihat secara automatik.
Apa yang diperlukan adalah pelaksanaan langkah-langkah keselamatan di tapak pembinaan oleh kontraktor yang peka kepada keselamatan dan bertanggungjawab, disokong oleh kakitangan yang terlatih dan berpengalaman.
TAN SRI LEE LAM THYE ialah Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH)