news 30062014

KUALA LUMPUR - Kesilapan dalam prosedur mengangkat besi oleh kontraktor adalah antara faktor berlakunya insiden beberapa batang besi menghempap sebuah kenderaan di tapak projek LRT di  Subang pada Khamis lepas.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Mohtar Musri berkata penemuan itu berdasarkan siasatan awal pihaknya.

"Kami juga telah keluarkan 'stop order' untuk semua pakej pembinaan di bawah syarikat itu," katanya ketika dihubungi oleh Bernama, di sini hari ini. 

Beliau berkata siasatan juga masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

"Selepas tamat siasatan, JKKP akan menghantar kertas siasatan itu kepada Jabatan Peguam Negara untuk bincangkan tindakan seterusnya," katanya.

Dalam kejadian Khamis lepas, sepasang suami iteri nyaris maut apabila beberapa batang besi di tapak pembinaan LRT di Jalan Lapangan Terbang Subang menghala Lebuhraya Persekutuan menghempap kereta yang dinaiki mereka. - Bernama