doshheaderbm

Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2014
  • MRT Corp lantik DNV GL siasat nahas maut
Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2014
  • MRT Corp lantik DNV GL siasat nahas maut

MRT Corp lantik DNV GL siasat nahas maut

Berita Harian Online, 29 Ogos 2014

KUALA LUMPUR: Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) melantik syarikat pensijilan gergasi Eropah, DNV GL, untuk menyiasat insiden kemalangan yang mengorbankan tiga pekerjanya di tapak projek pada 18 Ogos lepas.

Menurut MRT Corp, tugas DNV GL termasuk mengkaji semula dokumentasi dan prosedur serta memberi input berhubung penambahbaikan.

Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Wira Azhar Abdul Hamid, berkata selain mengenal pasti punca nahas dan memperuntukkan tanggungjawab dan kebertanggungjawaban bagi insiden itu, MRT Corp mahu mencapai beberapa perkara berdasarkan laporan itu.

"Yang pertama, kami mahu laporan itu memanfaatkan industri pembinaan. Hasil laporan mesti dimanfaatkan oleh pihak berkuasa untuk menetapkan standard baharu bagi industri pembinaan. Insiden pada 18 Ogos harus menjadi pemangkin bagi industri pembinaan untuk bergerak ke hadapan dengan pematuhan piawaian yang lebih baik dan tinggi.

"Yang kedua, orang ramai perlu diberi jaminan semula mengenai keselamatan di tapak projek MRT. Saya sepenuhnya berhasrat untuk mengumumkan laporan itu supaya orang awam boleh melihat apa yang perlu dilakukan. Mereka berhak diberi jaminan semula," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azhar berkata, laporan itu akan dikeluarkan pada minggu pertama September dan dua kakitangan DNV GL kini berada di Malaysia bagi menjalankan temubual dan pemeriksaan di tapak.

Beliau berkata, laporan itu dibuat berasingan dan adalah tambahan kepada laporan yang sedang disediakan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH).

"Ini akan melengkapkan laporan DOSH," katanya.

Dalam insiden itu, tiga pekerja binaan warga Bangladesh maut dihempap bongkah landasan konkrit di tapak projek berkenaan.

Mayat mereka telah dibawa pulang ke Dhaka pada 21 Ogos lepas.

- BERNAMA

Cetak Emel