Pusat lupus tayar haram diserbu
Sinar Harian Online, 11 September 2014
KUALA PILAH - Sudahlah beroperasi secara haram, malah didirikan pula di atas tanah zon pertanian.
Itulah yang berlaku di Selaru di sini, apabila sebuah tanah persendirian seluas kira-kira 1.2 hektar dijadikan kilang pelupusan tayar tanpa lesen sejak hampir empat tahun lalu.
Lokasinya yang tersorok, jauh ke dalam hutan menyebabkan kegiatan tersebut tidak disedari orang awam.
Bagaimanapun, jarak antara kilang dengan perkampungan Orang Asli hanya kira-kira 300 meter sahaja menyebabkan masyarakat di situ terpaksa menghirup udara tercemar.
Bertindak atas aduan penduduk di tiga perkampungan Orang Asli iaitu Kampung Lerek, Air Runtuh dan Air Pulasan membabitkan kira-kira 300 orang, serbuan dilakukan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah diketuai Asisten Superintendan Admi Zaiza Daud.
Operasi dibantu 50 anggota terdiri dari Pejabat Tanah Daerah, Jabatan Pendaftaran Negara, Kementerian Kesihatan, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Imigresen serta Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (DOSH).
Timbalan Pentadbir Tanah Daerah, Mohd Faizal Abdul Manap berkata, serbuan dilakukan selepas penduduk kampung membuat aduan berhubung pencemaran udara yang menjejaskan tahap kesihatan mereka.
Malah, katanya, aduan turut dibuat pengusaha pertanian berhampiran yang memaklumkan terdapat pencemaran di aliran air anak sungai berdekatan.
"Berikutan itu, kita bersama semua agensi berkaitan turun padang untuk melihat keadaan kilang itu. Hasil pemeriksaan mendapati, pemilik kilang telah melanggar syarat terkandung pada peraturan yang tertera pada perjanjian hak milik tanah.
“Pemilik kilang gagal mengemukakan segala dokumen diminta dan kita dapati tanah ini adalah kegunaan untuk ladang getah jangka panjang. Tetapi pemilik tanah ini menjalankan aktiviti kilang pelupusan tayar secara haram yang menyebabkan pencemaran sehingga mengganggu penduduk sekitar," katanya.
Menurutnya, isu kilang berkenaan sudah dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah Negeri pada hujung Ogos lalu.
“Semua agensi penguatkuasa daerah ini telah diarahkan melaksanakan operasi bersama atau blue ocean strategy bagi mengambil tindakan terhadap kilang terbabit,” katanya di sini.
Mohd Faizal berkata, sebelum ini, pemilik kilang sudah beberapa kali diberi amaran agar menghentikan aktiviti berkenaan, namun ia terus beroperasi.
"Amaran yang kami berikan kepada kilang ini nampaknya tidak diendahkan pengusahanya, malah mereka bermaharajalela melakukan pelupusan tayar secara terang-terangan," katanya yang mengesahkan kilang berkenaan diarah tutup serta-merta.
Pekerja asing dikesan salah guna permit
Sementara itu, Mohd Faizal berkata, pihaknya turut mendapati sembilan pekerja warga Bangladesh di kilang berkenaan menyalah gunakan permit kerja.
"Sepatutnya permit mereka adalah untuk pertanian, sebaliknya disalah gunakan untuk kerja di kilang.
“Pemeriksaan dari Kementerian Kesihatan juga mendapati kesan pembiakan aedes dalam bekas-bekas tayar terpakai di sekitar kilang ini. Sampel jentik-jentik akan di bawa ke makmal untuk diujikaji," katanya.
Beliau berkata, seorang penyelia kilang berusia 50-an yang pada awalnya mengaku sebagai pemandu lori ditahan dan dibawa ke IPD Kuala Pilah untuk disoal siasat, manakala sembilan warga Bangladesh berusia antara 30 hingga 50-an dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Lenggeng.
Menurutnya, operasi selama satu jam setengah itu turut mengaitkan pemilik kilang di atas beberapa kesalahan.
“Antara sabit kesalahan, di bawah Seksyen 127 (1A) Akta Kanun Tanah Negara 1965 Pelanggaran Syarat Tanah, Seksyen 34 Akta Kilang dan Jentera 1967 dan Seksyen 15 (1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, serta Seksyen 25 Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 Pindaan 2000,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Azmi Abdul Rahim turut meminta JAS megambil tindakan lebih tegas dalam menangani kes melibatkan pencemaran alam sekitar.
"Ia bukan saja boleh menjejaskan tahap kesihatan penduduk sekitar, malah menyebabkan penduduk kampung tidak selesa," katanya.