Pemandu lori maut dihempap besi kren
Beginilah keadaan besi kren yang menghempap sebuah lori sampah menyebabkan pemandunya maut di tempat kejadian di sebuah pusat beli-belah di Melaka awal pagi semalam. - UTUSAN/azli ahad
Utusan Online, 25 September 2014
MELAKA 24 Sept. - Seorang lelaki di sini, mungkin bakal trauma seumur hidupnya apabila menyaksikan sendiri di depan mata rakannya maut akibat dihempap sebatang besi kren seberat 25 tan.
Apatah lagi, rakannya itulah yang menemaninya bertugas setiap hari untuk mengangkut sampah di bandar raya ini.
Kejadian berlaku semasa kedua-duanya bertugas mengangkut sampah di belakang sebuah kompleks beli-belah di Banda Hilir di sini, kira-kira pukul 5.30 pagi.
Namun, tidak semena-mena batang besi kren dari jentera itu yang ditempatkan di situ untuk kerja-kerja pembinaan sebuah panggung wayang di tingkat atas bangunan tersebut jatuh lalu menghempap bumbung lori berkenaan.
Berikutan itu, mangsa, Anas Tawi, 55, mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Rakan setugasnya, Sabari Bidin, 45, yang juga kelindannya berkata, ketika kejadian dia keluar daripada lori itu untuk mengambil sampah daripada tong berhampiran manakala Anas pula berada di dalam lori.
"Semasa berada di belakang lori, secara tiba-tiba saya melihat besi kren tersebut jatuh lalu terus menghempap bahagian bumbung lori yang kami naiki.
"Saya tidak sempat berbuat apa-apa untuk menyelamatkan Anas dan dia meninggal dunia di tempat duduk pemandu," katanya.
Difahamkan, Anas yang berasal dari Padang, Sumatera Barat, Indonesia, adalah pemegang taraf pemastautin tetap (PR) dan telah 30 tahun bekerja sebagai pemandu lori sampah.
Mangsa meninggalkan empat anak iaitu tiga lelaki dan seorang perempuan berusia antara 21 hingga 35 tahun serta seorang balu, Emi Bokhori, 56.
Mangsa yang meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan, dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.
Dalam pada itu, anak bongsu mangsa, Siti Hidayu, 21, memberitahu, kebiasaannya bapanya keluar rumah pada pukul 4 pagi untuk bekerja.
Katanya, kali terakhir dia bertemu dan berbual dengan bapanya adalah pada petang Isnin lalu dan tiada sebarang perubahan dilihat pada padanya.
"Dah lama ayah saya bekerja sebagai pemandu lori sampah, sejak 30 tahun lalu tetapi tidak pernah berhadapan dengan situasi bahaya.
"Setakat ini kami sekeluarga belum terfikir untuk mengambil apa-apa tindakan susulan disebabkan kecuaian yang berlaku, biar kami selesaikan dahulu urusan pengebumian,: katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Melaka hari ini.
Jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Durian Tunggal di sini.