doshheaderbm

Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2014
  • Pekerja kilang bimbang dijangkiti tibi - Utusan Online
Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2014
  • Pekerja kilang bimbang dijangkiti tibi - Utusan Online

Pekerja kilang bimbang dijangkiti tibi - Utusan Online

Utusan Online, 1 Disember 2014 - oleh SHARAIMEI

PUTRAJAYA 30 Nov. - Hampir 800 pekerja kilang di Banting kini diselubungi kebimbangan dijangkiti batuk kering atau tibi apabila seorang pekerja warga asing yang bertugas sebagai operator dikesan menghidap penyakit berjangkit itu.

Pengerusi Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Selangor dan Wilayah Persekutuan, Wan Noorulazhar Mohd. Hanafiah berkata, pekerja warganegara Nepal itu dikesan menghidap penyakit tibi selepas menerima rawatan di salah sebuah klinik kesihatan di Klang baru-baru ini.

Walau bagaimanapun katanya, belum sempat pekerja tersebut mendapatkan rawatan lanjut, majikannya secara tergesa-gesa menghantarnya pulang ke negara asal bagi menutup bukti.

“Lebih merisaukan pekerja kilang di sini apabila pekerja warga asing terbabit tinggal serumah dengan rakan-rakannya yang lain dan dikhuatiri mereka terkena jangkitan penyakit itu.

“Sepatutnya apabila dikesan menghidap penyakit tibi, pekerja itu perlu mendapatkan rawatan awal dan dikuarantin bagi mengelakkan penyakit berjangkit tetapi perkara sebaliknya pula berlaku apabila majikannya bertindak menghantarnya pulang tanpa mendapatkan rawatan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Wan Noorulazhar, mengikut Seksyen 15 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 adalah menjadi kesalahan kepada pesakit berkenaan tidak menjalani pemeriksaan lanjut untuk mengesan penyakit tersebut.

Katanya, mana-mana pesakit yang tidak mahu bekerjasama dengan pejabat kesihatan dianggap melanggar arahan tersebut dan boleh didenda atau dikompaun.

Namun Wan Noorulazhar berkata, dalam kes tersebut bukan sahaja pekerja warga asing itu tidak menghadirkan diri, malah majikannya juga cuba mengelakkan diri dengan menghantar pekerja terbabit pulang ke negara asal tanpa menerima rawatan.

“Kita harapkan Kementerian Kesihatan dapat memantau perkara ini dan mengambil tindakan sewajarnya kerana kes penyakit tibi dan penyakit berjangkit lain bukan pertama kali berlaku melibatkan pekerja asing di negara ini.

“Baru-baru ini pada awal tahun ini dua pekerja kilang rakyat tempatan juga dijangkiti penyakit tibi sehingga terpaksa dikuarantin selama enam bulan di hospital. Kita harap pihak berwajib mengambil serius isu ini supaya sebarang penyakit berjangkit bawaan pekerja asing dikawal,” katanya.

 

Cetak Emel